Tragedi murid jatuh bangunan: GPMS desak KPM, Jakim rombak sistem KAFA

KOTA BHARU - Tragedi seorang murid Tahun Lima yang terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah ketika cuba mengambil sarang burung sewaktu sesi Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) disifatkan sebagai isyarat jelas bahawa sistem pentadbiran dan kawal selia KAFA perlu dirombak segera.
Pengerusi Tetap Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Malaysia, Nik Saiful Adli Burhan berkata, insiden itu tidak boleh dianggap sebagai kemalangan biasa, sebaliknya mendedahkan kelemahan struktur pentadbiran serta pertindihan bidang kuasa antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menurut beliau, keadaan tersebut mewujudkan kelompangan dalam aspek pemantauan dan keselamatan murid sepanjang sesi KAFA dijalankan.
"Ketiadaan kuasa intervensi secara langsung oleh pihak pentadbiran sekolah terhadap pelaksanaan KAFA yang berada di bawah bidang kuasa Jakim menyebabkan wujud jurang pengurusan sehingga aspek keselamatan murid terdedah kepada risiko.
"Keadaan ini turut diburukkan apabila libat urus antara pentadbir sekolah dengan guru-guru KAFA tidak dilaksanakan secara menyeluruh, sekali gus mewujudkan kelemahan dalam penyelarasan tanggungjawab," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Ujar beliau, GPMS menghargai peranan besar sistem pendidikan KAFA dalam membentuk sahsiah dan pendidikan agama generasi muda, namun aspek keselamatan murid perlu menjadi keutamaan semua pihak.
Sehubungan itu, katanya, GPMS menggesa KPM dan Jakim segera merangka satu garis panduan serta kerangka kerja yang lebih jelas bagi menyelaras bidang kuasa kedua-dua agensi.
Menurut beliau, pihak pentadbiran sekolah juga perlu diberikan mandat yang sah untuk memantau, menyelia dan mengambil tindakan berkaitan disiplin serta keselamatan murid sepanjang sesi KAFA berlangsung tanpa menjejaskan kurikulum yang ditetapkan Jakim.
Dalam masa sama, Nik Saiful Adli turut mencadangkan jadual operasi dan pergerakan murid KAFA disusun semula secara lebih sistematik bagi mengurangkan risiko ketika tempoh peralihan dan waktu yang dikenal pasti kritikal.
"GPMS juga menggesa kerajaan menilai semula pelaksanaan kemasukan murid Darjah Satu ke kelas KAFA dengan mengambil kira faktor perkembangan psikologi kanak-kanak serta kekangan nisbah guru yang boleh menjejaskan aspek pengawasan," katanya.
Ujar beliau, modul pemantauan dan pengawasan berkala terhadap guru-guru KAFA, khususnya ketika waktu rehat dan amali solat, juga perlu diwajibkan bagi memastikan tiada ruang yang boleh mengundang risiko keselamatan.
Tambahnya, tanggungjawab menjaga kebajikan, disiplin dan keselamatan murid KAFA tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja.
"Ia perlu dilaksanakan secara bersama antara KPM dan Jakim melalui satu memorandum persefahaman yang kukuh supaya tragedi seumpama ini tidak lagi berulang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

