Pemuda Pas Kampar selar Chong Zhemin lebih bangkitkan isu Kelantan di Parlimen

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

KAMPAR – Pemuda Pas Kampar menyelar tindakan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin yang didakwa lebih banyak membangkitkan isu berkaitan rakyat Kelantan dalam perbahasan di Parlimen pada Rabu berbanding memberi tumpuan kepada pelbagai masalah yang dihadapi penduduk di kawasan sendiri.

Ketua Pemuda Pas Kampar, Abdul Hadi Azman berkata, pihaknya memandang serius tindakan wakil rakyat DAP itu yang membangkitkan isu pencerobohan tanah Orang Asli serta jenayah seksual kanak-kanak dan HIV di Kelantan sedangkan masih banyak isu tempatan yang belum diselesaikan.

Menurutnya, sebagai wakil rakyat yang menang Kampar, Zhemin seharusnya menggunakan platform Parlimen untuk memperjuangkan kebajikan dan kepentingan rakyat di kawasan yang diwakilinya.

"Sehingga hari ini tidak ada usaha konkrit daripada Ahli Parlimen Kampar untuk menyelesaikan banyak isu melibatkan kebajikan dan kepentingan rakyat di Kampar.

"Antaranya ialah status pembinaan Hospital Kampar yang baharu, masalah infrastruktur yang usang, ketiadaan pelan jangka panjang menangani banjir kilat serta dakwaan pencerobohan tanah Orang Asli di Kampung Air Terjun Batu Berangkai yang dikatakan masih belum selesai," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Abdul Hadi berkata, selain isu hospital, penduduk juga berdepan masalah akses jalan raya di kampung tradisional Melayu dan kampung baharu Cina serta masalah haiwan ternakan berkeliaran yang menurutnya memerlukan perhatian segera.

Beliau mendakwa Zhemin lebih gemar membangkitkan isu melibatkan Kelantan berbanding memberi fokus kepada pembangunan dan penyelesaian masalah di Perak khususnya Kampar.

"Mandat rakyat bukan tiket untuk berpolitik siang malam atau mencari salah di tempat lain sedangkan kawasan sendiri tidak dijaga dengan baik.

"Gunakan kedudukan di Parlimen untuk menyuarakan isu setempat, bukannya demi kepentingan politik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat Kampar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan sekiranya diadakan debat antara Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari dan Zhemin yang dicadangkan dianjurkan oleh pihak ketiga termasuk Sinar Harian.

Terdahulu dalam perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi Tahun 2024 di Parlimen, Zhemin membangkitkan tiga perkara iaitu hak Orang Asli terhadap tanah, hutan dan air, hak kesihatan rakyat dalam isu HIV/AIDS serta perlindungan kanak-kanak dari jenayah seksual.

Dalam perbahasan tersebut, Zhemin mengambil beberapa contoh kes berlaku di Kelantan membabitkan isu Orang Asli, HIV/AIDS dan jenayah seksual di negeri berkenaan.

Fadhli cuba mencelah perbahasan berkenaan namun tidak dibenarkan Zhemin sehingga tamat tempoh.

Sementara itu, Fadhli dalam satu video yang dimuat naik menerusi akaun Facebooknya membidas tindakan wakil rakyat DAP itu.

Beliau turut mencabar Zhemin untuk berdebat mengenai isu dibangkitkan dan mencadangkan agar Sinar Harian menyediakan platform bagi tujuan tersebut.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!