Kuwait tangkis serangan peluru berpandu, dron

Tentera Kuwait tidak menjelaskan lokasi asal serangan berkenaan atau pihak yang melancarkannya. Gambar hiasan Foto: AFP
Tentera Kuwait tidak menjelaskan lokasi asal serangan berkenaan atau pihak yang melancarkannya. Gambar hiasan Foto: AFP
A
A
A

KUWAIT CITY – Tentera Kuwait memaklumkan pihaknya sedang bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron pada Rabu, ketika ketegangan serantau meningkat susulan ancaman Iran untuk melakukan tindakan balas terhadap Amerika Syarikat (AS).

Dalam kenyataan di platform X, pihak tentera berkata, sistem pertahanan udara Kuwait kini sedang memintas beberapa serangan yang dianggap sebagai ancaman.

“Pertahanan udara Kuwait sedang bertindak terhadap serangan peluru berpandu dan dron musuh,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, tentera Kuwait tidak menjelaskan lokasi asal serangan berkenaan atau pihak yang melancarkannya.

Pihak berkuasa tentera turut menjelaskan bunyi letupan yang kedengaran di beberapa kawasan dipercayai berpunca daripada sistem pertahanan udara yang berjaya memintas ancaman tersebut.

Perkembangan itu berlaku selepas Iran sebelum ini memberi amaran akan mengambil tindakan balas susulan siri serangan Amerika Syarikat terhadap sasaran di Iran.

Ketegangan di Asia Barat semakin memuncak apabila konflik antara Iran, AS dan Israel terus memberi kesan kepada negara-negara jiran, termasuk yang terletak berhampiran laluan strategik seperti Teluk Parsi.

Kuwait menjadi antara negara serantau yang meningkatkan tahap kesiapsiagaan keselamatan bagi menghadapi kemungkinan limpahan konflik yang lebih luas.- Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!