Bapa buat laporan polis dua anak ditendang rakan sekelas, dibuli sejak awal sesi persekolahan

Syed Lot berkata, seorang bapa mendakwa dua anaknya menjadi mangsa buli apabila ditendang oleh seorang murid lelaki dalam kejadian di sebuah sekolah.
Syed Lot berkata, seorang bapa mendakwa dua anaknya menjadi mangsa buli apabila ditendang oleh seorang murid lelaki dalam kejadian di sebuah sekolah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang bapa mendakwa dua anaknya menjadi mangsa buli apabila ditendang oleh seorang murid lelaki dalam kejadian di sebuah sekolah rendah di daerah ini.

Kejadian itu didakwa berlaku pada Isnin lalu sebelum laporan polis dibuat oleh bapa mangsa pada keesokan harinya, dan siasatan sedang dijalankan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung dakwaan kejadian buli dan serangan fizikal melibatkan dua murid di sekolah rendah di daerah ini.

"Laporan polis telah dibuat oleh bapa kepada kedua-dua mangsa pada 7 Julai lalu selepas mendakwa anak-anaknya menjadi mangsa gangguan dan serangan fizikal oleh seorang murid lelaki.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian pertama dipercayai berlaku pada 6 Julai lalu, apabila mangsa perempuan berusia 12 tahun didakwa telah ditendang pada bahagian belakang kepala oleh seorang murid lelaki yang merupakan rakan sekelasnya.

"Keesokan harinya, adik mangsa yang juga bersekolah di sekolah yang sama didakwa telah ditendang pada bahagian perut oleh murid lelaki yang sama," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, menurut laporan, mangsa perempuan mengalami sakit kepala manakala adik lelakinya berada dalam keadaan trauma dan ketakutan akibat kejadian tersebut.

"Pengadu turut mendakwa suspek sering mengganggu kedua-dua mangsa melalui panggilan berunsur hinaan dan gangguan fizikal di dalam kelas.

"Kejadian tersebut dipercayai berlaku secara berterusan sejak awal sesi persekolahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Syed Lot berkata, pihaknya menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti identiti penuh suspek, merakam percakapan mangsa, saksi-saksi, guru serta pihak pentadbiran sekolah.

"Pemeriksaan perubatan ke atas mangsa turut dijalankan bagi menentukan tahap kecederaan yang dialami.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 507(b) Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, polis memandang serius sebarang bentuk buli dan keganasan yang melibatkan kanak-kanak serta akan menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan siasatan serta identiti kanak-kanak yang terlibat.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor A Movendran di talian 018-5746310 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. Segala maklumat yang diterima akan dirahsiakan," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!