Singapura ketatkan peraturan jalan raya, hukuman lebih berat menanti pesalah

Jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya di Singapura meningkat pada 2025. - FOTO: Agensi
Jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya di Singapura meningkat pada 2025. - FOTO: Agensi
A
A
A

SINGAPURA - Singapura bercadang memperketat hukuman terhadap kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan serius dengan mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah lalu lintas.

Menteri Negara Kanan Ehwal Luar, Sim Ann membentangkan rang undang-undang (RUU) Lalu Lintas Jalan Raya (Pindaan Pelbagai) mengandungi beberapa cadangan pindaan kepada undang-undang sedia ada di Parlimen pada Selasa.

Selain hukuman lebih berat bagi kesalahan memandu secara berbahaya atau cuai, RUU itu turut mencadangkan penurunan had kandungan alkohol yang dibenarkan bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Denda sehingga S$1,000 (RM3,155) dan penjara enam bulan juga akan dikenakan ke atas pesalah pertama yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Menurut data Polis Singapura, jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya meningkat pada 2025, sekali gus meneruskan trend peningkatan yang berterusan.

Dalam tempoh 2021 hingga 2025, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya meningkat kira-kira 24 peratus manakala kesalahan lalu lintas pula meningkat sebanyak 38 peratus.

"Jalan raya kita menjadi semakin tidak selamat. Bagi membendung trend ini, penguatkuasaan dan hukuman terhadap kesalahan lalu lintas akan diperketatkan," menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan.

Undang-undang baharu itu jika diluluskan juga membolehkan Polis Trafik (TP) mengesan dan mengambil tindakan terhadap pesalah menerusi rakaman kamera serta gambar atau video yang dikemukakan orang awam. - Agensi

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!