Majlis bertandang bertukar cemas, pengantin lelaki tercekik tulang ikan

Muhammad Haziq dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan selepas tercekik tulang ikan.
Muhammad Haziq dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan selepas tercekik tulang ikan.
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat sepasang pengantin untuk menikmati detik bahagia pada majlis bertandang di Kuala Lumpur bertukar cemas apabila pengantin lelaki tercekik tulang ikan ketika makan beradab sehingga mengalami muntah dan sesak nafas sebelum dikejarkan ke hospital.

Pengantin perempuan, Hareena Fatini Mohd Tahar, 28, berkata, suaminya, Muhammad Haziq Rusle, 26, pada awalnya memaklumkan terasa seperti tercekik tulang ketika mereka sedang menikmati hidangan pada Sabtu lalu.

Menurutnya, suaminya makan seperti biasa dan tidak gelojoh, namun dipercayai tidak menyedari terdapat tulang pada ikan yang dimakan.

“Suami beritahu dia rasa seperti tercekik tulang ikan. Saya terus panik dan mengajaknya ke belakang pelamin untuk ke tandas.

“Dalam perjalanan ke tandas, dia berlari sebelum muntah dan selepas itu nampak seperti sudah semakin baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Hareena dan suaminya, Muhammad Haziq bergambar dengan sepupu suaminya sebelum kejadian mencemaskan itu.
Hareena dan suaminya, Muhammad Haziq bergambar dengan sepupu suaminya sebelum kejadian mencemaskan itu.

Menurut Hareena, mereka kemudian kembali ke meja makan sebelum ibu bapanya menyarankan Muhammad Haziq menelan nasi yang digumpal bagi menghilangkan rasa tidak selesa pada tekak.

Bagaimanapun, katanya, suaminya masih berasa sakit sebelum keadaan kembali mencemaskan ketika mereka mahu meneruskan sesi bergambar bersama keluarga.

Artikel Berkaitan:

“Saya nampak matanya sudah merah dan bertanya sama ada dia okey atau tidak. Ketika saya mahu mengambil air, dia datang kepada saya sebelum tiba-tiba muntah di kawasan tempat makan.

“Apabila dia mula muntah-muntah dan mengalami sedikit sesak nafas, kami terus membawanya untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.

Hareena berkata, mereka pada mulanya membawa Muhammad Haziq ke sebuah klinik, namun dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan lanjut di hospital berdekatan.

Menurutnya, suaminya menjalani pemeriksaan termasuk X-ray dan diberikan ubat tahan sakit sebelum mereka dibenarkan kembali sementara ke dewan kerana perlu menunggu ketibaan doktor pakar.

“Kami mempunyai tempoh kira-kira sejam sebelum doktor pakar tiba dan doktor benarkan kami kembali ke dewan untuk menyelesaikan majlis.

“Suami juga mahu kembali kerana kasihan ramai rakannya sudah datang. Dia agak sedih kerana tidak sempat bertemu mereka sedangkan majlis perkahwinan sepatutnya menjadi peluang untuk berjumpa dengan rakan-rakan,” katanya.

Tambah Hareena, mereka kembali ke hospital selepas majlis berakhir kira-kira jam 4 petang bagi menjalani pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar.

“Pemeriksaan menggunakan kamera mendapati terdapat kesan luka akibat tulang ikan, namun tulang itu sudah tiada dan kemungkinan telah masuk ke dalam perut,” katanya.

Dalam pada itu, Hareena berkata, kejadian berkenaan meninggalkan trauma kepada suaminya sehingga mengakui serik untuk menikmati hidangan ikan buat sementara waktu.

“Dia memang cakap selepas ini tidak mahu makan ikan. Mungkin ambil masa untuk dia makan ikan semula kerana masih trauma, tambahan pula kejadian itu berlaku ketika majlis bertandang kami,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!