Bapa maut, dua anak parah kemalangan selepas keluar makan malam

CHUKAI - Seorang bapa maut manakala dua anaknya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Kampung Cicar di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, dalam kejadian pada 9.10 malam itu, mangsa Muhammad Zarol Che Aziz, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian setelah cedera parah pada kepala dan beberapa bahagian badan.
Beliau berkata, Muhammad Nuh Zaim, 2, dan Muhammad Luth Ziyad, 6, yang membonceng motosikal itu mengalami kecederaan parah pada kepala.
"Ketika kejadian, tiga beranak itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Taman Rakyat Bestari, Kampung Bukit Kuang selepas keluar makan malam di kedai berhampiran.
"Siasatan awal polis mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 23 tahun,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Mohd Razi berkata, pemandu kenderaan itu dipercayai gagal mengelak dan merempuh bahagian hadapan motosikal berkenaan kerana jarak terlalu dekat.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat manakala kedua-dua kanak-kanak terbabit kini menerima rawatan di Unit Kecemasan hospital sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
