PRN Johor: Manifesto PH berdepan aura Hishammuddin, KJ - Penganalisis

Penganalisis berkata, kehadiran Hishammuddin dan Khairy memberikan kelebihan kepada BN sekali gus memberikan tantangan hebat buat PH menjelang PRN Johor.
Penganalisis berkata, kehadiran Hishammuddin dan Khairy memberikan kelebihan kepada BN sekali gus memberikan tantangan hebat buat PH menjelang PRN Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pentas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang memasuki minggu kedua kempen menyaksikan dua gabungan politik utama semakin meningkatkan gerak kerja bagi mendekati pengundi, dengan masing-masing mempertaruhkan pendekatan tersendiri dalam usaha menawan hati rakyat.

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dilihat memilih strategi serta membezakan tawaran masing-masing menjelang hari pengundian pada 11 Julai ini.

PH memberikan penekanan kepada agenda dasar dan penyelesaian yang menyentuh kehidupan harian rakyat, manakala BN memanfaatkan kekuatan jaringan parti serta kehadiran beberapa figura politik berprofil tinggi bagi menyuntik momentum kempen.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, strategi PH dilihat lebih tertumpu kepada usaha meyakinkan pengundi menerusi tawaran dasar yang memberikan fokus kepada isu kos sara hidup, peningkatan pendapatan, akses kepada perumahan, pembangunan modal insan dan pengagihan manfaat ekonomi secara lebih menyeluruh.

Beliau berkata, pendekatan itu mencerminkan usaha PH untuk membawa naratif bahawa pembangunan Johor tidak seharusnya diukur melalui angka pelaburan atau pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat yang boleh dirasai secara langsung oleh rakyat.

"PH cuba meyakinkan pengundi bahawa pembangunan Johor tidak cukup sekadar disebut melalui angka pelaburan, tetapi mesti diterjemahkan kepada gaji yang lebih baik, rumah mampu milik, peluang kerja berkualiti dan kebajikan rakyat yang lebih terjamin,” katanya kepada Bernama.

PH melancarkan manifesto "Johor Untuk Semua" yang secara rasmi menggariskan pelan tindakan komprehensif bagi mendepani isu-isu kritikal ini dengan antaranya memberikan fokus kepada srategi bersepadu untuk menaikkan kadar gaji domestik, selain memastikan limpahan hasil pelaburan diterjemahkan terus kepada peningkatan kebajikan dan kualiti hidup rakyat Johor secara menyeluruh.

Tinjauan di kem BN pula memperlihatkan gabungan itu mula agresif memanfaatkan kepulangan dua tokoh dikenali ramai antaranya bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menyertai semula parti berkenaan menerusi Rumah Bangsa.

Mengulas tentang kemunculan bekas pemimpin BN dalam kempen PRN Johor ke-16, Muhammad Tawfik berkata, dalam landskap politik semasa, pengundi semakin kritikal dalam membuat pilihan dan tidak lagi mudah dipengaruhi hanya dengan kehadiran tokoh politik terkenal di pentas ceramah.

Artikel Berkaitan:

"Pengundi hari ini lebih kritikal. Mereka bukan sahaja melihat siapa yang datang berceramah, tetapi menilai sama ada parti itu mempunyai tawaran yang jelas, calon yang meyakinkan dan dasar yang dekat dengan masalah rakyat,” katanya.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusry Ibrahim pula berkata, penyertaan aktif Hishammuddin dalam kempen bagi pilihan raya ini berpotensi mengembalikan keyakinan sebahagian penyokong UMNO yang sebelum ini berasa kecewa atau menjauhkan diri daripada parti.

Pensyarah daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu turut berkata, pengaruh Hishammuddin di Johor masih besar, sekali gus mampu merangsang semula sokongan terhadap BN, khususnya dalam kalangan penyokong tradisi parti itu.

Mohd Yusry berkata, pada masa sama, kehadiran Khairy juga boleh memberikan kelebihan kepada BN dalam usaha mendekati pengundi muda memandangkan beliau merupakan antara figura politik yang secara konsisten mendapat penerimaan positif dalam kelompok berkenaan.

"Khairy secara konsisten merupakan watak yang popular dalam kalangan pengundi muda. Kepulangannya membantu kempen sedikit sebanyak dengan boleh mencetuskan minat segmen pengundi yang sebelum ini belum berjaya didekati UMNO dan BN,” katanya.

Beliau berkata, hal ini kerana pola sokongan pengundi muda kini semakin dinamik apabila mereka tidak lagi mempunyai kesetiaan yang kuat kepada mana-mana parti politik seperti generasi terdahulu.

"Anak muda secara umumnya tidak mempunyai kesetiaan kepada mana-mana parti. Mereka lebih mudah tertarik kepada figura yang mereka kenali, ikuti dan rasakan dekat dengan mereka, sebab itu faktor calon menjadi semakin penting dalam menentukan kecenderungan pengundian golongan ini,” katanya.

PRN Johor ke-16 menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding untuk merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian pada Sabtu ini, manakala undi awal akan berlangsung esok. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!