Lebih 220,000 pemohon dapat kelulusan tambahan kuota BUDI Diesel - Amir Hamzah

PAPAR - Lebih 220,000 rakyat Malaysia yang memiliki kenderaan diesel telah memohon dan menerima peningkatan kuota BUDI subsidi bahan api tersebut daripada 200 kepada 300 liter setakat Sabtu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peningkatan kuota itu diberikan menerusi mekanisme permohonan yang diwujudkan kerajaan bagi memastikan subsidi bersasar benar-benar sampai kepada golongan yang layak, di samping mengambil kira keperluan pengguna terutama pemilik kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan utiliti.
Menurutnya, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bukan sahaja bertujuan mengurangkan ketirisan, malah turut diperkemas dari semasa ke semasa berdasarkan maklum balas yang diterima daripada rakyat.
"Matlamat utama penyasaran subsidi ialah memastikan subsidi sampai kepada rakyat yang benar-benar layak dan tidak dinikmati oleh mereka yang tidak berhak.
"Bagi subsidi diesel, kerajaan menyediakan kuota asas sebanyak 200 liter dan memberi peluang kepada pengguna memohon tambahan 100 liter.
"Berdasarkan data sehingga semalam, lebih 220,000 pemilik kenderaan diesel telah memohon dan mendapat peningkatan kuota kepada 300 liter.
"Kita juga meluaskan kategori kenderaan yang layak termasuk pikap dan jip kerana kita memahami kenderaan ini banyak digunakan oleh peniaga untuk mengangkut barangan dan penumpang. Selain itu, kerajaan turut memberi kelonggaran membolehkan kuota dipindahkan kepada pengguna sebenar walaupun pembiayaan kenderaan dibuat atas nama ahli keluarga lain," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Turun Padang BSN Micro Financing Tamu Papar di sini pada Ahad.
Mengulas mengenai program itu, Amir Hamzah berkata, kerajaan menerusi beberapa agensi dan institusi kewangan terus memperluaskan akses pembiayaan mikro kepada usahawan kecil dengan turun padang bagi mendekati mereka secara langsung.
Katanya, langkah itu penting kerana usahawan mikro merupakan antara tulang belakang ekonomi negara dan perlu dibantu bukan sahaja dari segi pembiayaan, malah bimbingan bagi mengembangkan perniagaan.
"Kita datang hari ini bersama agensi-agensi kerajaan untuk turun padang berjumpa usahawan kerana kita faham mereka adalah antara tulang belakang yang penting kepada negara.
"Kita harap melalui program micro-financing ini, lebih ramai usahawan dapat mengembangkan perniagaan dengan bantuan pembiayaan dan bimbingan daripada agensi-agensi yang terlibat.
"Tahun ini kita menambah RM5 bilion bagi pembiayaan mikro dan sejak Mei lalu, lebih RM1 bilion telah disalurkan dalam tempoh kira-kira sebulan setengah. Yang lebih penting bukan sekadar menyediakan pembiayaan, tetapi membantu meningkatkan kefahaman usahawan untuk mengurus dan mengembangkan perniagaan mereka dengan lebih baik.
"Sebab itu agensi seperti Agrobank, Bank Rakyat, BSN, Tekun dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) turun padang untuk membimbing usahawan serta membantu mereka mendapatkan pembiayaan yang sesuai.
"Usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak melalui pendekatan Whole of Nation supaya lebih ramai usahawan dapat dibantu," katanya
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan turut memudahkan akses pembiayaan kepada usahawan kecil yang belum mempunyai rekod pinjaman.
"Kadang-kadang peniaga kecil risau untuk datang ke bank kerana bimbang tidak layak mendapat pinjaman. Sebab itu kita menggunakan pelbagai mekanisme untuk membuat penilaian berdasarkan keadaan sebenar perniagaan mereka.
"Selain bank, AIM dan Tekun juga turun ke lapangan bagi membantu membuat penilaian serta membimbing usahawan dari peringkat awal.
"Bila perniagaan semakin berkembang dan mempunyai track record, mereka boleh beralih kepada pembiayaan bank yang lebih besar mengikut keperluan perniagaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
