Puad Zarkashi umum sokong calon PH di DUN Rengit

BATU PAHAT – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi secara terbuka menyatakan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Mohamad Yazid Bakri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menerusi poster kempen yang dimuat naik di laman Facebooknya, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, beliau membuat pilihan berdasarkan peribadi calon dan bukan lagi atas faktor parti.
"Sekarang saya tidak berparti. Saya pilih calon kerana peribadi calon. Justeru saya pilih saudara Yazid kerana...," katanya.
Beliau kemudian menyenaraikan lima alasan menyokong Mohamad Yazid, iaitu calon berkenaan merupakan anak jati Rengit, menetap di kawasan tersebut, memiliki rumah di Rengit serta merupakan pengerusi sebuah surau di Rengit.
Poster itu turut membawa slogan "Orang Rengit Jaga Rengit" selain memaparkan nombor calon dan lambang PH bagi menggesa pengundi memberikan sokongan kepada Mohamad Yazid.
Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) itu mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta pada 25 Jun lalu.
Setiausaha Agung, Asyraf Wajdi Dusuki kemudian mendakwa Mohd Puad pernah mengugut untuk keluar parti dan mengkritiknya secara terbuka jika anaknya tidak dicalonkan bagi kerusi Rengit.
Mohd Puad menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 dengan majoriti undi sebanyak 1,920.
Beliau memperoleh 7,903 undi secara keseluruhan, menewaskan tiga calon lain daripada Perikatan Nasional, PKR, dan Pejuang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

