Wanita menyamar lelaki, dalang serangan bom

MONACO - Seorang wanita warga Ukraine yang dipercayai menyamar sebagai lelaki kini diburu pihak berkuasa selepas disyaki terbabit dalam serangan bom yang menyasarkan seorang ahli perniagaan kaya.
Memetik laporan Reuters, suspek, Anastasiia Berezovska, 39, dinamakan sebagai suspek utama dalam Notis Merah yang dikeluarkan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) atas tuduhan cubaan membunuh, meletakkan bahan letupan di tempat awam dengan niat jenayah dan berkonspirasi melakukan jenayah.
Menurut pihak pendakwaan Monaco, serangan itu berlaku pada Isnin lalu apabila suspek dipercayai meninggalkan sebuah bungkusan mengandungi bahan letupan di hadapan sebuah bangunan sebelum meletupkannya menggunakan alat kawalan jauh sebaik tiga mangsa tiba di lokasi.
Mangsa dikenal pasti sebagai ahli perniagaan kelahiran Ukraine, Vadym Yermolaiev bersama pasangan dan anaknya.
Ketiga-tiga mereka cedera dalam kejadian itu, manakala pasangan Yermolaiev dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal.
Timbalan Pendakwa Raya Monaco, Morgan Raymond berkata, siasatan awal berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menyebabkan penyiasat menyangka suspek ialah seorang lelaki kerana memakai pakaian gelap dan topi jenis bucket.
Bagaimanapun, rakaman lain menunjukkan suspek mempunyai rambut panjang, sekali gus membawa kepada penemuan bahawa individu terbabit sebenarnya seorang wanita yang menyamar sebagai lelaki bagi mengelakkan identitinya dikesan.
Menurut beliau, suspek dipercayai telah membuat tinjauan di kawasan berkenaan selama beberapa hari sebelum serangan dengan memakai pakaian yang hampir sama setiap kali berada di lokasi.
Selepas melancarkan serangan, suspek dipercayai melarikan diri dengan berjalan kaki ke Perancis sebelum menaiki sebuah kereta sewa yang didaftarkan di Jerman dan memandu pulang melalui beberapa negara Eropah, termasuk Itali.
Sumber kehakiman Monaco memaklumkan suspek kemudiannya dikesan berada di Frankfurt, Jerman.
Dalam perkembangan sama, polis jenayah Jerman mengesahkan telah menggeledah apartmen dan kenderaan sewa dikaitkan dengan wanita itu dan merampas beberapa bahan bukti untuk diserahkan kepada pihak berkuasa Monaco.
Bagaimanapun, suspek masih belum berjaya ditahan dan dipercayai masih berada dalam pelarian.
Raymond berkata, tahap perancangan serangan itu menunjukkan kemungkinan suspek tidak bertindak bersendirian, malah pihak berkuasa turut menyiasat sama ada wujud rakan subahat atau individu yang mengarahkan serangan tersebut.
Beliau turut memaklumkan dua individu ditahan di Monaco sebelum ini telah dibebaskan, namun siasatan bagi mengenal pasti dalang dan individu lain yang terbabit masih diteruskan.
Interpol sebelum ini mengeluarkan Notis Merah terhadap Berezovska bagi membolehkan agensi penguat kuasa di seluruh dunia mengesan serta menahan sementara suspek bagi tujuan tindakan undang-undang dan proses ekstradisi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

