Ada yang tidak kena di Kem Hobart

INSIDEN terbaharu di Kem Hobart, Gurun yang menyaksikan dua anggota tentera cedera selepas senjata api digunakan meletup ketika menjalani latihan menembak pada Isnin, sekali lagi membuka persoalan terhadap tahap keselamatan latihan ketenteraan di negara ini.
Walaupun pihak berkuasa menjelaskan kecederaan tersebut berpunca daripada serpihan objek yang melantun akibat masalah teknikal dan bukannya tembakan peluru, kejadian itu tetap membimbangkan kerana berlaku di lokasi sama dalam tempoh tidak sampai dua minggu selepas tragedi letupan grenad yang meragut dua nyawa.
Secara asas, latihan ketenteraan sememangnya berisiko tinggi. Penggunaan bahan letupan, senjata berat dan latihan taktikal tidak pernah bebas daripada bahaya.
Justeru, tidak adil untuk terus menyimpulkan Kem Hobart tidak selamat atau berlaku kegagalan menyeluruh dalam prosedur operasi standard (SOP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Malah, pandangan pakar sebelum ini turut menegaskan insiden dalam latihan tidak semestinya menggambarkan kelemahan sistem, sebaliknya boleh berlaku walaupun dengan pematuhan SOP yang ketat.
Namun, apabila dua insiden berlaku dalam tempoh singkat di kem yang sama, ia tidak lagi boleh dilihat secara terpisah. Situasi ini menuntut siasatan lebih menyeluruh bukan sahaja terhadap punca langsung kejadian tetapi juga aspek pengurusan risiko, tahap penyelenggaraan peralatan, keadaan lapang sasar dan keberkesanan pemantauan semasa latihan dijalankan.
Keputusan menggantung sementara latihan membaling grenad selepas tragedi pertama menunjukkan tindakan segera telah diambil. Bagaimanapun, insiden terbaharu menunjukkan masih wujud ruang penambahbaikan yang perlu diberi perhatian serius.
Dalam sebuah organisasi benteng pertahanan yang mengendalikan aset dan senjata maut, setiap ralat teknikal atau kemalangan kecil tidak boleh dikompromi.
Setiap insiden perlu menjadi titik semakan semula kepada keseluruhan sistem keselamatan. Lebih penting kini ialah ketelusan dalam siasatan dan kesediaan untuk memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.
Kepercayaan anggota tentera, kegusaran keluarga mereka dan keyakinan rakyat terhadap ekosistem latihan pertahanan negara tidak boleh dipertaruhkan sama sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
