Pasangan ditahan selepas aksi lamaran 'romantik ekstrem' di bangunan Empire State

Aksi berani mati Beerkus dan Nikolau turut menjadi tular. - Foto Agensi
Aksi berani mati Beerkus dan Nikolau turut menjadi tular. - Foto Agensi
A
A
A

NEW YORK - Aksi lamaran 'romantik ekstrem' di puncak bangunan Empire State berdepan padah apabila pasangan tersebut akhirnya diberkas pihak berkuasa New York.

Rakaman video dipaparkan media tempatan pada Rabu menunjukkan dua individu berpakaian serba hitam itu bercium di atas antena utama di struktur pencakar langit ikonik setinggi 102 tingkat tersebut.

Mereka turut mengibarkan sepanduk tertera ‘apabila cinta lebih kuat daripada kuasa, dunia akan jadi aman' dari ketinggian kira-kira 443 dari permukaan tanah itu.

Masih tidak jelas bagaimana pasangan warga Rusia dikenal pasti sebagai Vanya Beerkus dan Angela Nikolau berjaya memasuki bahagian antena tersebut yang tidak boleh diakses orang awam.

Sebelum ini, mereka pernah muncul menerusi dokumentari Netflix 2024 berjudul Skywalkers: A Love Story yang berkisarkan tentang minat mereka terhadap ‘rooftopping' iaitu aktiviti ekstrem memanjat bangunan tinggi di bandar.

Sementara itu, jurucakap Empire State dalam satu kenyataan memaklumkan aksi tersebut sememangnya dilakukan tanpa kebenaran.

"Mereka sepatutnya menggunakan pakej lamaran rasmi yang ditawarkan dengan harga AS$1,000 (RM4,084) bagi meraikan detik bermakna itu," ujarnya. - Agensi

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!