110 rakyat Malaysia di Pakistan selamat pulang

Pesawat Pakistan International Airlines (PIA) yang membawa rakyat Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11.20 pagi semalam. - Foto 123RF
Pesawat Pakistan International Airlines (PIA) yang membawa rakyat Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11.20 pagi semalam. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kira-kira 110 rakyat Malaysia yang terkandas di Pakistan selamat pulang ke tanah air pagi semalam, kata Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad.

Pesawat Pakistan International Airlines (PIA) yang membawa rakyat Malaysia itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11.20 pagi semalam.

"Selebihnya, seramai 30 hingga 40 lagi rakyat Malaysia memutuskan untuk terus tinggal di Pakistan," menurut kedutaan dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Rakyat Malaysia yang terkandas di Pakistan berada di Lahore, Islamabad dan Karachi, mereka termasuk ahli perniagaan, pegawai sektor swasta, pelancong dan pelajar.

Menurut kenyataan itu lagi, sejak PKP dikuat kuasa di Pakistan pada 22 Mac, semua rakyat Malaysia yang terkandas telah menghubungi Suruhanjaya Tinggi.

"Kami terus menyeru warga Malaysia yang dalam tempoh lawatan jangka pendek ke Pakistan untuk mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia - dengan mengisi borang dalam talian di http://bit.ly/MalaysiainPakistan.”

Rakyat Malaysia yang memerlukan perkhidmatan konsular boleh menghubungi pegawai bertugas di talian +923028443021 atau e-mel mwislamabad@kln.gov.my.- Bernama

Artikel Berkaitan: