Dua penganjur judi, enam pemain dicekup

Antara barang rampasan hasil serbuan kegiatan perjudian di kawasan Pasar Borong Selayang pada Selasa. Foto: Polis KL
Antara barang rampasan hasil serbuan kegiatan perjudian di kawasan Pasar Borong Selayang pada Selasa. Foto: Polis KL
A
A
A

KUALA LUMPUR – Lapan individu diberkas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penganjuran perjudian di kawasan Pasar Borong Selayang, di sini, pada Selasa.

Penahanan tiga lelaki tempatan dan lima lelaki warga Myanmar itu dilakukan menerusi serbuan kira-kira jam 8 malam oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, dua suspek disyaki berperanan sebagai penganjur, manakala enam lagi merupakan pemain.

"Kegiatan tersebut dipercayai aktif sejak dua bulan lalu dan beroperasi bermula jam 7 petang hingga 10 malam.

"Dalam operasi tersebut, polis turut merampas sebuah meja, satu set mangkuk kaca kecil, tiga biji dadu serta wang tunai berjumlah RM6,266 yang dipercayai hasil kegiatan perjudian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 45 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, kesemua suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!