X

Kindly register in order to view this article
!

Persatuan Farmasi Malaysia mohon lanjut kontrak pegawai farmasi

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Farmasi Malaysia melahirkan kebimbangan apabila seramai 3,500 pegawai farmasi lantikan kontrak di Kementerian Kesihatan (KKM) akan tamat bulan ini hingga Disember depan walaupun negara ketika ini masih bertarung dalam memerangi pandemik koronavirus (Covid-19).

Justeru, Presidennya, Amrahi Bujang memohon kerajaan melanjutkan tempoh perkhidmatan mereka bagi membantu KKM.

Menurutnya, ahli farmasi memainkan peranan penting dalam menangani penularan Covid-19 dengan melaksanakan bekalan ubat-ubatan dan kaunseling bukan sahaja di peringkat farmasi bahkan juga di wad-wad pesakit.

“Mereka juga menjadi penggerak utama kepada rangkaian perkhidmatan perkhidmatan farmaseutikal yang ditawarkan KKM dengan matlamat utama memastikan kecekapan, ketepatan dan pantas demi keselamatan pesakit.

“Memandangkan terdapat keperluan mendesak bagi pekerja penjagaan kesihatan dalam memerangi Covid-19, melanjutkan kontrak pegawai-pegawai farmasi ini akan membolehkan kerajaan memanfaatkan pengalaman dan kemahiran yang dimiliki selama menjalani latihan intensif selama tiga tahun itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amrahi berkata, dengan pengalaman dan semangat yang ada, mereka mampu menyesuaikan diri dengan lebih cepat terhadap prosedur-prosedur KKM.

Katanya, sehingga kini sebanyak 6,000 petisyen telah ditandatangani oleh ahli farmasi yang meminta kerajaan melanjutkan kontrak pegawai farmasi lantikan kontrak.

“Jadi kita berharap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat campur tangan dalam hal ini demi kepentingan penjagaan kesihatan negara,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!