Kutipan darah di Pusat Darah Negara menurun sehingga 40 peratus

Data yang menunjukkan jumlah kutipan darah mengalami penurunan dalam Facebook Pusat Darah Negara.
Data yang menunjukkan jumlah kutipan darah mengalami penurunan dalam Facebook Pusat Darah Negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah kutipan darah di Pusat Darah Negara menunjukkan penurunan ketara sehingga 40 peratus berbanding bulan lalu dengan tahun sebelumnya.

Berdasarkan laman Facebook pusat tersebut, jumlah kutipan darah bagi Mac 2018 ialah 17,670, Mac 2019 (20,033) dan Mac 2020 (12,086).

Stok darah pada 11 April pula menunjukkan kumpulan darah O berada dalam keadaan yang sangat rendah dan amat diperlukan bagi membantu menyelamatkan nyawa.

Kumpulan darah yang mencatatkan jumlah rendah pula ialah darah A dan B, namun darah AB mencukupi untuk keperluan buat masa ini.

Menurut seorang penderma darah tetap, Mohamad Rosdan Abdul Rahim, 42, dia mendapati jumlah penderma darah berkurangan sejak kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sebelum PKP memang banyak aktiviti untuk menderma darah dilakukan, tetapi sekarang tiada lagi. Saya bimbang dan khuatir sekiranya keadaan ini berterusan, ia akan memberi kesan terutama kepada mereka yang memerlukan darah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Mohamad Rosdan (kanan) bersama isterinya, Noorlia Ahmad menderma darah di Pusat Darah Negara sebelum PKP dilaksanakan.
Mohamad Rosdan (kanan) bersama isterinya, Noorlia Ahmad menderma darah di Pusat Darah Negara sebelum PKP dilaksanakan.

Mohamad Rosdan yang sudah menderma darah sejak 21 tahun lalu berkata, dia menerima banyak mesej daripada Pusat Darah Negara untuk menderma darah.

Artikel Berkaitan:

"Saya pasti Pusat Darah Negara kini mengalami kekurangan darah dan merayu kepada orang ramai dan juga penderma tetap seperti saya untuk membantu menderma darah," ujar bekas anggota tentera itu.

Beliau yang berasal dari Kuala Lumpur itu berkata, penderma hanya perlu menunjukkan buku derma darah mereka sekiranya ditahan oleh pihak berkuasa sepanjang tempoh PKP.

"Saya fikir pihak polis mungkin akan memberikan kebenaran tetapi dengan syarat mestilah menunjukkan buku derma darah sebagai bukti," katanya.

Dalam pada itu, dia berkata, menderma darah sangat bagus kerana dapat mengetahui status kesihatan terkini.

"Kita boleh tahu keadaan diri kita dan dalam masa yang sama dapat berbakti kepada orang ramai. Bagi diri saya, setiap kali menderma darah badan saya akan rasa lebih sihat," ujarnya.