Gabriel tenangkan Tomiyasu

BEKAS rakan sepasukan di Arsenal, Gabriel Magalhaes dan Takehiro Tomiyasu menjadi tumpuan selepas pertembungan Brazil dan Jepun dalam aksi Pusingan 32 Piala Dunia 2026 yang berakhir dengan kemenangan dramatik skuad Selecao 2-1.
Sejurus wisel penamat, Magalhaes dilihat menenangkan Tomiyasu yang kecewa selepas Jepun tersingkir, dalam satu detik penuh emosi di tengah padang yang turut dirakam kamera siaran langsung.
Pertemuan itu turut menyaksikan seorang lagi pemain Arsenal, Gabriel Martinelli memainkan peranan penting apabila meledak gol kemenangan Brazil pada minit ke-95.
Martinelli menyempurnakan rembatan jarak dekat hasil situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti, dengan Tomiyasu antara pemain yang cuba menghalang namun gagal menutup ruang sepenuhnya.
Brazil terlebih dahulu bangkit pada babak kedua selepas ketinggalan di separuh masa pertama, dengan jaringan penyamaan diperoleh menerusi tandukan Casemiro sekali gus memadam kelebihan awal Jepun menerusi Kaishu Sano .
Skuad bimbingan Carlo Ancelotti kemudian meningkatkan intensiti serangan sebelum Martinelli muncul wira pada penghujung aksi.
Kemenangan itu menyaksikan Brazil meneruskan kempen mereka dalam misi memburu kejuaraan dunia keenam, manakala Jepun terpaksa akur tersingkir walaupun memberi tentangan sengit pada sebahagian besar perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
