Sandwich generation dan impak ekonomi

FENOMENA sandwich generation bukan lagi sekadar isu kekeluargaan, sebaliknya semakin menjadi cabaran ekonomi yang memerlukan perhatian serius.
Golongan ini merujuk kepada individu dalam usia bekerja yang perlu menanggung ibu bapa yang semakin berusia, selain menyara anak-anak atau tanggungan yang masih bergantung kepada mereka dari segi kewangan.
Ahli Ekonomi Sunway University dan Felo Akademi Sains Malaysia, Profesor Mahendhiran Sanggaran Nair berkata, peningkatan golongan sandwich generation boleh memberi kesan besar kepada ekonomi negara jika tidak ditangani melalui reformasi dasar yang menyeluruh.
Menurut beliau, kesan paling ketara ialah terhadap kewangan isi rumah apabila sebahagian besar pendapatan digunakan untuk menampung keperluan ibu bapa dan anak-anak secara serentak.
“Apabila seseorang perlu membiayai keperluan ibu bapa yang semakin tua sambil menanggung kos membesarkan anak-anak, ruang untuk menabung bagi persaraan sendiri menjadi semakin terhad.
“Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh mewujudkan kitaran baharu apabila generasi yang kini menyara keluarga pula berdepan ketidakjaminan kewangan apabila meningkat usia,” katanya kepada Sinar Bisnes.
Mahendhiran berkata, kesannya bukan hanya kepada isi rumah, malah turut menjejaskan simpanan negara, corak perbelanjaan pengguna dan keupayaan keluarga membina aset jangka panjang.
Beliau menjelaskan, apabila sebahagian besar pendapatan digunakan untuk kos sara hidup, pendidikan dan penjagaan kesihatan, keluarga menjadi kurang berkemampuan membeli rumah, menambah simpanan persaraan atau membuat pelaburan.
“Ramai akhirnya menangguhkan keputusan penting seperti memiliki rumah dan merancang keluarga, selain gagal membina jaringan keselamatan kewangan yang kukuh,” katanya.
Menurutnya, peningkatan sandwich generation didorong oleh beberapa faktor seperti jangka hayat yang semakin panjang, saiz keluarga yang semakin kecil, kos penjagaan anak yang tinggi serta simpanan persaraan warga emas yang tidak mencukupi.
Pada masa sama, ramai golongan muda masih bergelut dengan kos pendidikan, harga rumah, kadar sewa yang meningkat, pertumbuhan gaji yang perlahan dan ketidaktentuan pekerjaan.
“Apabila ibu bapa terus menyokong anak-anak dewasa mereka sedangkan mereka sendiri mula memerlukan bantuan, tekanan itu akhirnya dipikul oleh generasi pertengahan,” katanya.
Mahendhiran turut mengingatkan bahawa fenomena ini memberi kesan kepada pasaran buruh apabila ramai, khususnya wanita, terpaksa mengurangkan waktu bekerja, menolak peluang kenaikan pangkat atau berhenti kerja bagi menjaga ibu bapa dan anak-anak.
“Keadaan ini mengurangkan penyertaan tenaga buruh serta produktiviti negara, sekali gus menjejaskan pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia juga dijangka berdepan tekanan lebih besar terhadap sistem penjagaan kesihatan berikutan peningkatan warga emas yang memerlukan rawatan penyakit kronik dan penjagaan jangka panjang.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan memperkukuh sistem simpanan persaraan, memperluas kemudahan penjagaan warga emas, meningkatkan pendidikan kewangan serta menggalakkan majikan menyediakan waktu kerja fleksibel dan dasar mesra keluarga.
Selain itu, peluang productive ageing perlu diperluas supaya warga emas yang masih sihat dapat terus bekerja secara fleksibel dan menjana pendapatan sendiri.
“Sandwich generation tidak seharusnya dilihat sebagai isu peribadi semata-mata. Jika tidak ditangani, ia akan memberi kesan kepada simpanan negara, produktiviti, penyertaan tenaga buruh dan kesejahteraan sosial.
“Menyokong golongan ini serta membina sistem sokongan yang kukuh untuk warga emas merupakan pelaburan strategik bagi memastikan Malaysia kekal berdaya tahan dari segi ekonomi dan sosial pada masa hadapan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

