Peniaga di Kemaman dibenarkan COD tapi perlu patuhi syarat

Anggota bertugas (kiri) sedang menyoal siasat dua individu yang ditahan melakukan COD untuk pemeriksaan lanjut -Foto: ihsan Facebook IPD Kemaman
Anggota bertugas (kiri) sedang menyoal siasat dua individu yang ditahan melakukan COD untuk pemeriksaan lanjut -Foto: ihsan Facebook IPD Kemaman
A
A
A

KEMAMAN - Peniaga di daerah ini dibenarkan melakukan perkhidmatan penghantaran barang (COD) makanan atau barang keperluan tanpa perlu mendapatkan surat kebenaran daripada pihak berkuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan mengeluarkan surat kebenaran kepada peniaga yang ingin jalankan COD cuma mengenakan beberapa syarat yang wajib dipatuhi.

Beliau berkata, hasil perbincangan bersama Jawatankuasa Kerja Tindakan Kemaman sebelum ini, COD hanya dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP ini antara jam 7 pagi hingga 6.30 petang sahaja.

Menurutnya, individu yang menjalankan COD pula mesti patuh pada lencongan yang sudah ditetapkan PDRM dan diingatkan jangan sesekali menggunakan kemudahan 'fast lane' khas yang disediakan untuk ambulan dan petugas kesihatan.

"Selain itu, lokasi yang hendak dihantar antara 10 hingga 20 kilometer sahaja dan tidak dibenarkan sama sekali melakukan COD merentasi daerah selain wajib mematuhi peraturan lalulintas seperti memiliki lesen memandu, memakai topi keledar serta tidak melakukan ubah suai kenderaan digunakan semasa melakukan COD.

"Kami hanya membenarkan seorang sahaja untuk menjalankan COD dan sekiranya ditahan dalam sekatan jalan raya, individu itu perlu menunjukkan bukti tempahan (lokasi pembeli dan bukti bergambar) selain wajib menunjukkan barang yang hendak dihantar kepada pihak berkuasa sekiranya diminta," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Hanyan berkata, peniaga yang melakukan COD perlu sentiasa berpakaian kemas (tutup aurat) selain memastikan memakai topeng muka dan sarung tangan serta selalu membasuh tangan menggunakan sabun atau hand sanitizer.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) menafikan ada mengeluarkan arahan tidak membenarkan peniaga di daerah ini yang tiada lesen menyediakan perkhidmatan penghantaran dari rumah ke rumah sepanjang tempoh PKP seperti yang ditularkan di laman sosial sejak Selasa lalu.

Artikel Berkaitan:

Yang Dipertuanya, Jusman Ibrahim berkata, pihaknya tidak pernah menghalang peniaga termasuk peniaga yang masih tidak mempunyai lesen niaga untuk meneruskan perniagaan mereka sepanjang tempoh ini.

Sebelum ini, tular satu rakaman suara mengatakan peniaga tidak berlesen yang membuat COD ke rumah pelanggan tidak dibenarkan berbuat demikian sepanjang tempoh PKP ini.