Covid-19: 7 SKN RAJD bina dua stesen dekontaminasi

Zamsari (kanan) yang melawat 'Rapid Decon Stesen' yang dikhaskan kepada anggota dalaman yang masuk ke Kem Desa Pahlawan Kok Lanas.
Zamsari (kanan) yang melawat 'Rapid Decon Stesen' yang dikhaskan kepada anggota dalaman yang masuk ke Kem Desa Pahlawan Kok Lanas.
A
A
A

KOTA BHARU - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Skuadron Ke-7 Rejimen Askar Jurutera Diraja (7 SKN RAJD) Kem Desa Pahlawan membina dua stesen dekontaminasi bagi kegunaan 900 anggota di bawah 8 Briged sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Stesen dekontaminasi itu, 'Rapid Decon Stesen' dan 'Total Decon Stesen' itu diilhamkan oleh Pegawai Pemerintah 7 SKN RAJD, Mejar Mohd Iqbal Mohd Zainuddin telah mula beroperasi sejak dua hari lalu.

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Zamsari Abu Hasan berkata, langkah itu sebagai tanggungjawab dan cakna terhadap anggota serta pegawai yang terlibat dalam penugasan Op Penawar bagi mengekang pandemik koronavirus (Covid-19).

Katanya, langkah pencegahan dalam kalangan anggota amat penting supaya mereka tidak dijangkiti Covid-19 sekali gus memastikan mereka terus kekal di barisan hadapan negara.

“Dengan cara ini anggota dapat terus melaksanakan tugas-tugas mereka dengan moral yang tinggi dan memberi jaminan anak-anak serta isteri mereka berada dalam keadaan selamat apabila mereka pulang dari tugasan dalam keadaan sudah dinyahkuman.

“Perkara paling penting adalah matlamat utama kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19 dan usaha boleh bermula menerusi langkah nyah cemar terhadap anggota tentera di Kelantan dan Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas melawat stesen dekontaminasi di Kem Desa Pahlawan Kok Lanas di sini hari ini.

Beliau berkata, 'Rapid Decon Stesen' adalah binaan khemah mini yang dilengkapi dengan paip semburan dan mengandungi sebatian 'Anolyte' sebagai ejen nyah cemar utama.

“'Rapid Decon Stesen' dikhaskan untuk kegunaan harian pasukan secara dalaman manakala 'Total Decon Station' pula bagi kegunaan pasukan di bawah kawasan tanggungjawab 8 Briged selepas tugasan Op Penawar termasuk proses nyah cemar terhadap trak pasukan.

Artikel Berkaitan:

“Dalam proses 'Total Decon Station' juga, para anggota dan kelengkapan akan dinyah cemar secara menyeluruh melalui lapan proses termasuk semburan wap 'Sodium Hypochlorite', pemeriksaan suhu badan, mandi, tukar pakaian bersih dan pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Zamsari berkata,susulan lanjutan tempoh PKP sehingga 28 April ini, anggota 8 Briged merangkumi Kelantan dan Terengganu akan diperketatkan dengan kekuatan sedia ada.

“Kami sentiasa bersedia untuk sebarang perubahan dari segi pengoperasian sekiranya ada pertambahan sekatan jalan rata atau rondaan bersama.

“Anggota akan ditampung ke kawasan zon merah malah pada masa sama kawalan keselamatan di sempadan juga turut dikekalkan,” katanya.