Bapa: Kemudi bahtera menuju syurga

JHEAINS jelaskan tanggungjawab bapa semakin mencabar dalam dunia digital kini

SELAIN menyara anak-anak, bapa juga bertanggungjawab mengajar mereka mengenai ilmu dan kemahiran. Foto Canva
SELAIN menyara anak-anak, bapa juga bertanggungjawab mengajar mereka mengenai ilmu dan kemahiran. Foto Canva
A
A
A

KELUARGA ibarat sebuah bahtera yang sedang belayar merentas lautan kehidupan dan adakalanya lautan tenang serta mendamaikan, namun tidak kurang juga badai dan gelora datang menguji.

Dalam pelayaran ini, seorang bapa berperanan sebagai nakhoda yang menentukan arah dan destinasi keluarganya.

“Jika kemudinya berpandukan wahyu ALLAH dan sunnah Rasulullah SAW, maka bahtera itu akan selamat menuju pelabuhan kebahagiaan dunia dan akhirat.

“Namun jika dibiarkan hanyut tanpa panduan, maka keluarga akan mudah terdedah kepada kerosakan akidah, akhlak dan nilai kehidupan,” ujar khatib pada permulaan khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia serta batu.” (Surah at-Tahrim: 6)

Menurut JHEAINS, ayat ini menjelaskan tanggungjawab seorang bapa bukan sekadar menyediakan keperluan makan dan minum, bahkan memastikan ahli keluarganya mendapat didikan agama, bimbingan akhlak dan perlindungan daripada perkara yang boleh menjerusmuskan mereka dalam kemurkaan ALLAH.

Pemimpin digital

Ujarnya, pada zaman yang serba canggih ini, peranan seorang bapa tidak lagi terbatas kepada penyediaan keperluan asas seperti makan minum dan tempat tinggal kepada keluarganya semata-mata.

Artikel Berkaitan:

SENTIASALAH mendoakan keselamatan dan kesejahteraan bapa yang berkorban apa sahaja buat kita. Foto Canva
SENTIASALAH mendoakan keselamatan dan kesejahteraan bapa yang berkorban apa sahaja buat kita. Foto Canva

“Kemajuan teknologi yang berkembang pesat membawa pelbagai manfaat kepada kehidupan manusia. Namun demikian, kemajuan tersebut turut membuka ruang kepada pelbagai cabaran dan pengaruh negatif yang boleh mengancam akidah, merosakkan serta meruntuhkan jati anak-anak,” jelasnya.

Hurainya lagi, dalam era teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang, seorang bapa perlu berperanan sebagai pemimpin digital dalam keluarganya.

“Seorang bapa hendaklah mengambil tahu dan sentiasa peka terhadap penggunaan teknologi oleh anak-anak termasuk kandungan yang ditonton, individu yang diikuti di media sosial, permainan yang dimainkan serta kandungan yang diakses melalui telefon pintar dan internet.

“Janganlah kita membiarkan teknologi mendidik anak-anak lebih banyak daripada didikan ibu bapa sendiri,” pesan khatib.

Tambahnya, teknologi hanyalah alat, tetapi apa yang menentukan arah penggunaannya ialah manusia.

“Lebih penting daripada itu, seorang bapa perlu memastikan bahawa hubungan keluarganya tidak terputus oleh teknologi.

“Jangan sampai setiap ahli keluarga berada dalam rumah yang sama, tetapi hati mereka berjauhan kerana terlalu asyik dengan dunia maya. Luangkan masa untuk berbual-bual, makan bersama, solat berjemaah dan mendengar luahan anak-anak,” nasihatnya.

LUANGKANLAH masa untuk melakukan aktiviti bersama anak-anak. Foto Canva
LUANGKANLAH masa untuk melakukan aktiviti bersama anak-anak. Foto Canva

Tambahnya, kehadiran seorang bapa dalam kehidupan anak-anak tidak dapat digantikan oleh telefon pintar, media sosial atau AI sekali pun.

Hormat, taat dan bakti

Sambung khatib, jika seorang bapa mempunyai amanah untuk memimpin keluarganya menuju keredaan ALLAH SWT, maka seorang anak pula mempunyai kewajipan untuk menghormati, mentaati dan berbakti kepada bapanya selagi tidak bertentangan dengan syariat-NYA.

“Hubungan antara bapa dan anak bukanlah hubungan yang berdiri atas hak sebelah pihak sahaja, bahkan hubungan yang saling melengkapi antara tanggungjawab dan pengorbanan.

“Seorang bapa berkorban tenaga, masa dan harta untuk membesarkan anak-anak, manakala seorang anak dituntut untuk membalas jasa tersebut dengan penghormatan, kasih sayang dan doa yang berterusan,” jelasnya.

Jelas JHEAINS, sesungguhnya antara tanda kejayaan seorang anak bukanlah tingginya pangkat atau banyaknya harta, tetapi sejauh mana dia mampu menggembirakan hati kedua-dua ibu bapanya dan menjadi penyejuk mata mereka di dunia serta akhirat,” katanya.

Al-Quran merakamkan contoh terbaik seorang bapa melalui kisah Luqman Al-Hakim ketika menasihati anaknya, ujarnya.

DALAM dunia digital kini, anak-anak perlu sering dipantau. Foto Canva
DALAM dunia digital kini, anak-anak perlu sering dipantau. Foto Canva

“Nasihat Luqman bukan berkisar tentang harta benda, kemewahan dunia atau kedudukan semata-mata tetapi tertumpu kepada perkara-perkara yang menjadi asas kebahagiaan dan keselamatan hidup di dunia serta di akhirat.

“Ini menunjukkan seorang bapa yang berjaya ialah bapa yang memberikan pendidikan rohani dan akhlak yang kukuh kepada anak-anaknya,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!