Reset diri, amal sunnah

PU Salman imbas kesukaran hijrah Rasulullah SAW ke Madinah dan ajak umat Islam amalkan sunnah tinggalan Baginda

SEBAHAGIAN daripada jemaah yang hadir pada ceramah Maal Hijrah. Foto FB MASJID AL-ISLAMIAH KG LINDUNGAN
SEBAHAGIAN daripada jemaah yang hadir pada ceramah Maal Hijrah. Foto FB MASJID AL-ISLAMIAH KG LINDUNGAN
A
A
A

SETIAP kali tibanya tahun baharu Hijrah, umat Islam lazimnya akan mengingati kembali peristiwa agung penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah.

Peristiwa ini bukan sekadar perpindahan tempat, tetapi simbol perjuangan, pengorbanan dan perubahan menuju reda ALLAH SWT.

Pendakwah, Ustaz Salman Maskuri menjelaskan, secara asasnya hijrah bermaksud meninggalkan namun hijrah yang sebenar ialah meninggalkan segala perkara yang dilarang ALLAH SWT.

“Ia bermaksud hijrah bukan hanya tentang berpindah tempat, tetapi juga meninggalkan dosa, maksiat dan kebiasaan buruk yang dilakukan.

“Hakikatnya jalan menuju syurga bukanlah mudah. Rasulullah SAW menjelaskan kepada umatnya bahawa syurga dipenuhi dengan perkara-perkara sukar manakala neraka pula dikelilingi dengan perkara yang menyeronokkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliah bertajuk Maal Hijrah: Reset diri dengan sunnah anjuran Masjid Al-Islamiah Kampung Lindungan, Petaling Jaya baru-baru ini.

Beliau yang lebih dikenali dengan PU Salman menambah, sebagai contoh untuk solat dengan khusyuk bukanlah perkara yang mudah, begitu juga ikhlas.

“Namun itulah perjuangan seorang hamba. Kita perlu sedar bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah persinggahan selepas kita melalui alam roh.

Artikel Berkaitan:

PU SALMAN. Foto FB MASJID AL-ISLAMIAH KG LINDUNGAN
PU SALMAN. Foto FB MASJID AL-ISLAMIAH KG LINDUNGAN

“Di alam roh, seluruh umat manusia telah berjanji kepada ALLAH SWT untuk menjadi hamba yang taat sebagaiman disebutkan dalam ayat ke-172 surah al-A’raf.

“Malangnya apabila hidup di dunia, ramai yang menjadi hamba kepada nafsu dengan mengejar wang, makanan dan keseronokan,” hurainya.

Jika ditelusuri sirah Nabi Muhammad SAW ujarnya, manusia akan melihat betapa besarnya pengorbanan Baginda selama 13 tahun di Makkah berhadapan dengan penindasan yang sangat berat.

“Bayangkan pada ketika itu, Abdullah bin Mas’ud yang berbadan kecil dipukul kaum musyrikin Makkah kerana membaca al-Quran di hadapan Kaabah.

Bagaimanapun beliau tetap mahu membaca al-Quran walaupun tahu pasti akan dipukul lagi.

“Bandingkan dengan keadaan kita pada hari ini. Tiada siapa yang mahu menghalang kita daripada membaca al-Quran dan tiada ancaman pukul, namun kita masih culas dalam beribadah.

“Inilah hakikat yang perlu kita renung, bukan susah untuk beribadah, tetapi hati kita yang sering lalai,” jelasnya.

Khatam al-Quran, kunjungi Tanah Suci

Penulis buku 99 Sunnah Rare itu menambah, antara bentuk hijrah diri yang boleh dilakukan ialah memperbaiki hubungan dengan al-Quran.

“Umat Islam sepatutnya meletakkan sasaran untuk mengkhatamkan al-Quran secara konsisten mungkin setiap tiga bulan sekali hingga kepada dua bulan atau sebulan sekali khatam.

“Al-Quran merupakan amanah dan kita telah berjanji dengan ALLAH untuk menjadi hamba yang patuh, maka hubungan dengan kitab-NYA perlu sentiasa dijaga,” katanya.

PU Salman (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada pihak masjid. Foto FB MASJID AL-ISLAMIAH KG LINDUNGAN
PU Salman (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada pihak masjid. Foto FB MASJID AL-ISLAMIAH KG LINDUNGAN

Selain itu katanya, antara azam hijrah juga ialah memasang niat untuk menziarahi Tanah Suci sama ada menunaikan umrah atau haji.

“Para ulama menyebutkan bahawa seseorang yang diberi kelapangan rezeki dan kesihatan seharusnya sentiasa memasang cita-cita untuk kembali ke ‘ibu kampung’ iaitu Makkah.

“Dalam hadis disebutkan sekurang-kurangnya lima tahun sekali untuk ke Tanah Suci dan sekiranya tidak berbuat demikian, maka keberkatan hidup akan dicabut,” jelas PU Salman.

Pesannya, jangan menunggu seru semata-mata kerana kadangkala manusia terlalu lama menunggu sehingga akhirnya dia diseru malaikat maut.

Sunnah yang semakin dilupakan

Selain itu katanya, antara sunnah yang semakin dilupakan ialah berlumba-lumba memenuhi saf hadapan di dalam masjid.

“Dalam masyarakat hari ini, ramai cenderung memberi tempat kosong di saf pertama kepada orang lain, sedangkan dalam urusan pahala, Islam mengajar kita untuk berlumba-lumba.

“Sesiapa pun boleh berada di saf hadapan termasuk anak-anak muda dan tidak semestinya orang-orang yang sudah berusia kerana kita hormat kepadanya.

“Oleh sebab itu juga anak-anak muda dan remaja perlu dibiasakan dengan masjid untuk membiasakan hati mereka dengan tarbiah di masjid,” jelasnya lagi.

ANTARA jemaah yang hadir ke ceramah Maal Hijrah. Foto FB MASJID AL-ISLAMIAH KG LINDUNGAN
ANTARA jemaah yang hadir ke ceramah Maal Hijrah. Foto FB MASJID AL-ISLAMIAH KG LINDUNGAN

Antara sunnah lain juga katanya, Nabi Muhammad SAW tidur awal pada waktu malam iaitu antara pukul 10 malam hingga 2 pagi kerana kualiti tidur pada ketika itu.

“Sejam tidur pada waktu tersebut sama seperti tiga jam kualiti tidur. Oleh sebab itu sesiapa yang tidur awal dapat bangun awal dengan cergas.

“Dalam aspek pemakanan pula, antara sunnah yang diamalkan Baginda ialah makan makanan ketika sudah sejuk selain mengamalkan roti barli yang dicicah dengan cuka seperti cuka epal,” katanya.

Ujarnya sebagai penutup, Rasulullah SAW meninggalkan khazanah sunnah dan ilmu yang sangat berharga buat umatnya merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk ibadah, perbuatan harian, makan, pergaulan, akhlak dan sebagainya.

Sempena Maal Hijrah ini katanya, berhijrahlah dengan azam yang kuat untuk mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah SAW, mendekati al-Quran dan menghidupkan masjid selain meninggalkan maksiat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!