Bantuan nafkah khas kepada ibu tunggal terjejas di Selangor

Dr Siti Mariah Mahmud
Dr Siti Mariah Mahmud
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor melalui Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) membuka permohonan bantuan nafkah khas kepada ibu tunggal yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi meringankan beban ibu tunggal yang telah memfailkan tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah sebelum PKP dilaksanakan.

"Program ini merupakan kerjasama antara pihaknya dengan Jakess bagi membantu untuk kes-kes tuntutan nafkah yang sudah ada perintah mahkamah di mana bekas suami lambat patuh menyebabkan bekas isteri dan anak dalam keadaan tiada nafkah.

"Masa PKP ini dijangkakan keadaan akan meruncing sebab bekas suami mungkin tidak ada pendapatan dan isteri juga mengalami masalah keputusan kewangan.

"Jadi ini bantuan 'one off' ini meringankan beban kewangan kepada mereka yang telah memfailkan kes tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah sebelum PKP dikuatkuasakan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Bagaimanapun beliau berkata, permohonan berkenaan mempunyai syarat-syarat yang ditetapkan.

"Antaranya pemohon mestilah ibu tunggal warganegara Malaysia beragama Islam dan berpendapatan kurang RM2,500 atau tidak tetap dan terjejas akibat PKP.

"Selain itu, pemohon adalah mereka yang tinggal di Selangor tidak kurang tiga tahun, bercerai dan memiliki sijil cerai dan mempunyai anak berusia 18 tahun ke bawah atau tidak lebih 21 tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, syarat lain adalah belum memfailkan tuntutan nafkah.

"Pemohon juga bukan penerima pendahuluan nafkah Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah negeri.

"Permohonan secara dalam talian boleh dibuat melalui https://bit.ly/34tA2f9 sehingga 15 April ini," katanya.

Terdahulu, 9 April lalu Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan nafkah khas kepada golongan ibu tunggal yang terjejas susulan PKP.