PH didakwa amal sikap dwistandard

Hantaran di FB yang dimuat naik oleh Tee Beng pada 20 Dec lalu.
Hantaran di FB yang dimuat naik oleh Tee Beng pada 20 Dec lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - MCA mempersoalkan tindakan kerajaan yang mengamalkan dwistandard terhadap kebebasan suara selepas menerajui negara.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Lau Chin Kok berkata, ia susulan daripada tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis yang menyiasat bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng yang memuat naik gambar di Facebook mempersoalkan anak Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memakai jaket mahal berjenama Givenchy semasa penerbangan ke Australia.

Bagaimanapun katanya, berbeza dengan isu PRK Cameron Highlands, penguatkuasa terlibat tidak mengambil sebarang tindakan terhadap seorang wanita berbaju PH yang memberikan ‘duit minyak’ kepada sukarelawan parti.

“Ini membangkitkan persoalan, Tee Beng hanya memuat naik gambar anak Guan Eng dan mempersoalkan harga jaket yang terlampau mahal. Apakah jenis jenayah yang telah dilakukannya?

“Kita juga ingin bertanya mengapa tiada tindakan diambil terhadap individu yang mengagihkan wang semasa PRK, tetapi mereka yang mendedahkan amalan rasuah pula disiasat? Apakah standard penguatkuasaan undang-undang yang diamalkan pihak berkuasa di sini?,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Chin Kok turut mempersoalkan mengapakan konsep Malaysia Baharu yang didokong PH asyik mewujudkan ketakutan dalam media sosial, menyekat kebebasan bersuara serta menghalang rakyat memantau tingkah laku kerajaan, terutamanya yang melanggar undang-undang pilihan raya atau yang menunjuk-nunjuk gaya hidup mewah.

“Dalam sebuah sistem demokrasi sebenar, kebebasan bersuara juga termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Hanya lapan bulan berlalu sejak pembentukan kerajaan baharu, PH telah menggunakan segala cara untuk menyekat media dan suara yang menentang mereka. Ini satu pengkhianatan terhadap rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jumaat lalu, polis mengambil keterangan Tee Beng bagi membantu siasatan berhubung hantaran di FB miliknya pada 20 Dec lalu yang mempersoalkan jaket dipakai oleh anak Guan Eng.