Covid-19: 45 kes baharu, dua lagi kematian di Thailand

Polis Thailand menjalankan pemeriksaan suhu ke atas pengguna jalan raya di pinggir Bangkok.
Polis Thailand menjalankan pemeriksaan suhu ke atas pengguna jalan raya di pinggir Bangkok.
A
A
A

BANGKOK - Thailand merekodkan 45 kes baharu koronavirus (Covid-19) termasuk melibatkan lapan warga Thailand yang pulang dari Indonesia dan dua kematian, menjadikan jumlah kes yang disahkan kepada 2,518 dengan 35 kematian setakat ini.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata, dua kematian terbaharu itu melibatkan dua lelaki rakyat Thailand iaitu pekerja kedai pajak gadai berusia 46 tahun dan pekerja pembersihan Pentadbiran Metropolitan Bangkok berusia 65 tahun.

“Memandangkan bilangan kes baharu Covid-19 di bawah 100 sejak beberapa hari kebelakangan ini, kita mesti terus berjaga-jaga dan mengekalkan jarak sosial untuk memerangi wabak Covid-19 di negara ini,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Daripada kes yang telah disahkan, 1,135 pesakit telah discaj.

Thaweesilp juga mengulangi seruannya menggesa rakyat di negara itu mengamalkan jarak sosial, terutama semasa sambutan tahun baharu tradisional Thailand, Songkran dari 13 hingga 15 April, yang telah ditangguhkan ke tarikh lain pada tahun ini.

Semalam Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chan o-cha menggesa rakyat Thailand tidak mengambil bahagian dalam sebarang sambutan tidak rasmi Songkran. - Bernama

Artikel Berkaitan: