Mat Yo dakwa Abdul Halim bercakap bohong!

Norshahrul Idlan Talaha - Foto Facebook Pathum United
Norshahrul Idlan Talaha - Foto Facebook Pathum United
A
A
A

PENYERANG kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha menyifatkan kenyataan balas yang dikeluarkan oleh ejennya, Abdul Halim Abdul Shukor adalah bohong terutama dalam dua isu yang cuba dibangkitkan oleh Pengarah Urusan Offside Sports itu.

Abdul Halim dalam satu kenyataan menerusi facebook peribadinya, hari ini menyatakan yang beliau bukan menghilangkan diri, sebaliknya tidak mahu memberikan komen kerana terdapat kes yang belum selesai di antara dirinya, ejen Thailand iaitu Pro24, kelab Liga 1 Thailand iaitu BG Pathum United dan Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT).

Malah dakwa Abdul Halim, yuran ejen turut masih belum diterimanya daripada BG Pathum United, kelab yang sedang diwakili oleh Norshahrul itu sehingga sekarang.

Norshahrul, 34, bagaimanapun menganggap perkara tersebut sebagai cubaan Abdul Halim untuk mengalihkan isu utama iaitu mengapa beliau menghilangkan diri dan tidak dapat dihubunginya bagi mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat ketika situasi sukar akibat pandemik Covid-19.

Norshahrul Idlan Talaha - Foto Facebook Pathum United
Norshahrul Idlan Talaha - Foto Facebook Pathum United

"Beliau (Abdul Halim) mendakwa saya tandatangan dengan Pro24 Agency tanpa pengetahuan beliau tetapi perkara sebenar adalah sebaliknya.

"Saya telah maklumkan kepada beliau yang saya sudah tandatangani dengan Pro24 Agency tetapi beliau kata tiada masalah kerana beliau boleh selesaikan perkara itu dengan pihak pengurusan BG Pathum United termasuk pengarah teknikal dan ketua jurulatih.

"Beliau sendiri yang beri jaminan kepada saya ketika itu tiada masalah dan mengapa pula dalam kenyataannya hari ini, beliau kata hal itu berlaku tanpa pengetahuannya?

Artikel Berkaitan:

"Keduanya, beliau mendakwa BG Pathum United masih belum membayar yuran ejen kepadanya tetapi kelab telah memberitahu kepada saya, yuran ejen itu sudah pun diperolehinya. Adakah kelab berbohong atau beliau yang berbohong?

"Secara logiknya kalau belum dapat yuran ejen, sudah tentu beliau masih menghubungi saya dan kelab. Tapi apabila beliau sendiri menghilangkan diri, nampaknya memang dah dapatlah (yuran ejen) rasanya," katanya.

Norshahrul turut tidak mahu memanjangkan isu ini, sebaliknya sekali lagi merayu kepada Abdul Halim supaya tampil menghubunginya bagi sama-sama menyelesaikan perkara berkenaan.

"Saya pun tak mahu perkara ini berlarutan. Harap beliau dapat hubungi saja saya segera dan kita boleh berbincang perkara-perkara yang berkaitan dengan baik. Cuma janganlah lepas tangan," ujarnya.