Basikal kargo Rohingya undang risiko

Dari sebuah basikal biasa ia diubah menjadi basikal kargo dengan ruang muatan besar.
Dari sebuah basikal biasa ia diubah menjadi basikal kargo dengan ruang muatan besar.
A
A
A

SUBANG JAYA - Penggunaan basikal kargo yang diubah suai secara haram semakin membimbangkan apabila kenderaan itu dikesan bergerak di jalan utama sekitar Puchong dan Subang Jaya tanpa ciri keselamatan yang sewajarnya.

Basikal berkenaan banyak digunakan warga asing termasuk komuniti Rohingya untuk mengangkut besi buruk dan barangan kitar semula, selain ada yang membawa muatan berlebihan sehingga mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain.

Sebahagian besar basikal berkenaan diubah suai sendiri oleh pemilik, manakala ada juga yang mendapatkan khidmat bengkel kimpalan yang menawarkan pemasangan ruang kargo dengan kos tertentu.

Keadaan itu menyebabkan semakin banyak basikal kargo muncul di kawasan perindustrian dan perumahan sekitar Bandar Puteri Puchong, Kampung Sri Langkas Tambahan serta beberapa kawasan berhampiran Subang Jaya.

Basikal kargo yang digunakan warga asing ini memberikan ancaman kepada pengguna jalan raya lain.
Basikal kargo yang digunakan warga asing ini memberikan ancaman kepada pengguna jalan raya lain.

Seorang warga Rohingya yang mahu dikenali sebagai Muhammad memberitahu, basikal kargo merupakan satu-satunya sumber rezeki sejak tiba di Malaysia lapan tahun lalu.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu berkata, dia memperoleh pendapatan dengan mengutip besi buruk dan menjualnya kepada pusat pengumpulan.

Menurutnya, pendapatan harian yang diperoleh bergantung kepada jumlah barangan yang berjaya dikumpulkan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau banyak besi buruk saya boleh dapat RM100 sehari, kalau kurang, kadang-kadang RM20 sahaja.

"Saya beli basikal lama pada harga RM50 sebelum mengubahsuai sendiri dengan memasang rangka besi menggunakan kerja kimpalan," katanya.

Muhammad berkata, penggunaan basikal kargo membolehkannya membawa lebih banyak muatan berbanding menggunakan basikal biasa.

Seorang lagi warga Rohingya, Abdul Rahman, 36, berkata, dia mengeluarkan hampir RM400 untuk memasang ruang kargo pada basikal yang dibelinya.

Menurutnya, terdapat bengkel tertentu yang menawarkan khidmat pemasangan tersebut.

"Kalau guna basikal biasa susah hendak bawa barang, dengan ruang kargo saya boleh kutip lebih banyak bahan kitar semula dalam satu perjalanan," katanya.

Abdul Rahman berkata, walaupun sedar basikal itu tidak mempunyai ciri keselamatan yang sempurna, dia tetap menggunakannya kerana tiada pilihan lain untuk mencari pendapatan.

Anggota penguatkuasa MBSJ menjalankan tindakan menerusi operasi bersepadu dijalankan baru-baru ini.
Anggota penguatkuasa MBSJ menjalankan tindakan menerusi operasi bersepadu dijalankan baru-baru ini.

Sementara itu, seorang lagi warga Rohingya yang hanya mahu dikenali sebagai Karim berkata, dia menggunakan basikal kargo untuk mengangkut kotak, besi dan peralatan terpakai dari kawasan perniagaan ke pusat kitar semula.

Menurutnya, kos memiliki motosikal jauh lebih tinggi berbanding basikal kargo.

"Saya tidak mempunyai lesen dan tidak mampu membeli motosikal. Basikal ini sahaja yang saya mampu gunakan untuk kerja harian," katanya.

Risiko kemalangan

Sementara itu, penduduk mendakwa kenderaan itu adalah tidak selamat dan boleh menyebabkan kemalangan terutama di laluan yang sibuk dengan kenderaan berat dan trafik padat.

Sementara seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai James, 58, berkata, dia sering melihat basikal kargo membawa besi buruk dalam jumlah yang banyak terutama pada waktu malam.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih berbahaya kerana kebanyakannya tidak memasang lampu.

"Kadang-kadang besi yang dibawa terkeluar dan jatuh di tengah jalan. Kalau motosikal lalu di belakang, memang boleh berlaku kemalangan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Akmal, 27, berkata, kewujudan basikal kargo menyebabkan kesesakan terutama berhampiran lampu isyarat dan jalan utama.

Menurutnya, ada penunggang yang seolah-olah tidak menghiraukan peraturan lalu lintas.

"Mereka masuk simpang sesuka hati dan ada yang mencelah di antara kereta ketika jalan sesak.

"Keadaan itu menyebabkan pengguna jalan raya lain terpaksa membrek secara mengejut," katanya.

Ada warga Rohingya yang mendapatkan khidmat bengkel kimpalan bagi membuat pemasangan ruang kargo.
Ada warga Rohingya yang mendapatkan khidmat bengkel kimpalan bagi membuat pemasangan ruang kargo.

Seorang suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Salmah, 45, pula berkata, dia pernah melihat kanak-kanak dibawa di bahagian belakang basikal kargo tanpa sebarang tali pinggang atau perlindungan keselamatan.

Menurutnya, keadaan tersebut amat membimbangkan kerana risiko kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa.

"Kalau berlaku pelanggaran atau basikal terbalik, kanak-kanak itu yang akan menjadi mangsa terlebih dahulu.

"Saya simpati dengan mereka yang mencari rezeki, tetapi aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan," katanya.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Idris berkata, aduan mengenai penggunaan basikal kargo telah dibuat beberapa kali kepada pihak berkuasa.

"Kami harap tindakan lebih tegas dapat diambil bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

"Sebelum ini pernah berlaku kemalangan melibatkan basikal kargo dan motosikal. Mangsa pula berdepan kesukaran mendapatkan ganti rugi kerana warga Rohingya tidak mempunyai dokumen lengkap," katanya.

Ahmad Kamarunzaman (kiri) meninjau operasi dijalankan baru-baru ini.
Ahmad Kamarunzaman (kiri) meninjau operasi dijalankan baru-baru ini.

Operasi bersepadu JPJ dan MBSJ

Susulan aduan yang diterima, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebanyak 34 kenderaan termasuk 20 basikal kargo dalam Operasi Pemandu Warga Asing (PeWA) di sekitar Puchong baru-baru ini.

Operasi yang bermula pada jam 10 pagi itu melibatkan 36 anggota JPJ Selangor dan 30 anggota Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi membanteras kenderaan yang diubah suai, terutamanya basikal kargo.

Timbalan Pengarah JPJ Negeri Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, sebanyak 120 kenderaan diperiksa dan 218 kesalahan direkodkan sepanjang operasi tersebut, dengan 50 daripadanya melibatkan kesalahan tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL).

"Operasi merekodkan 56 kes melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan 56 kes berkaitan insurans, diikuti dua kes lesen vokasional, dua kes salah guna LKM, 29 kesalahan teknikal lain serta 23 kesalahan lain.

"Selain itu, sebanyak 34 kenderaan turut disita membabitkan 12 motosikal dan 20 basikal kargo, sebuah kereta serta sebuah lori," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!