23 ingkar PKP khayal berparti

 Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 23 individu yang leka berparti dalam keadaan khayal, dipercayai di bawah pengaruh dadah ditahan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Tanjung Puteri 1, di sini hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penahanan itu melibatkan 14 lelaki dan sembilan wanita berusia antara 17 hingga 24 tahun menerusi serbuan pada jam 2.30 pagi.

"Kita juga menemui 30 gram dadah dipercayai ketamin," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 33 individu di negeri ini ditahan semalam kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, majoriti daripada mereka adalah warga asing yang memberi alasan bosan berada di kediaman selain keluar mahu berjumpa rakan.

Jumlah tersebut katanya, menjadikan statistik tangkapan individu ingkar PKP sejak 18 Mac hingga semalam seramai 1,191 orang manakala 140 individu sudah dikompaun dari 8 Mac lalu hingga semalam.

Jelasnya, kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

"Jika ditangkap dan disabit kesalahan kerana ingkar perintah mana-mana pegawai yang diberikan kuasa, mereka akan disabit mengikut Seksyen 24 Akta 342 dan boleh dipenjara tidak lebih dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, jika mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan (3) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 boleh disabit dengan Peraturan 7 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 yang boleh didenda RM1,000.