Covid-19: Pengusaha makanan perlu kreatif

Che Abdullah (kanan) melakukan lawatan ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali di sini hari ini bagi meninjau stok bekalan ikan.
Che Abdullah (kanan) melakukan lawatan ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali di sini hari ini bagi meninjau stok bekalan ikan.
A
A
A

PASIR PUTEH - Pengusaha produk makanan perlu lebih kreatif dalam memasarkan hasil keluaran mereka sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mengekang penularan wabak pandemik koronavirus (Covid-19) ketika ini.

Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, terdapat pelbagai kaedah bersesuaian yang boleh digunakan dalam memasarkan produk keluaran mereka ketika ini seperti secara dalam talian atau penghantaran terus kepada para pelanggan (Cod).

"Kedua-dua langkah itu dilihat lebih bersesuaian ketika ini sekaligus mampu mengelakkan berlaku lambakan atau sebagainya.

"Saya berharap mereka ini (pengusaha) sentiasa kreatif dan mencari idea-idea baharu dalam memasarkan produk mereka sepanjang PKP," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali di sini hari ini bagi meninjau stok bekalan ikan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas isu lambakan hasil pertanian yang gagal dipasarkan sebagaimana dilaporkan oleh pihak media sebelum ini, Che Abdullah berkata, pihaknya sudah melakukan lawatan ke kawasan tersebut.

Katanya, sebahagian daripada produk tersebut akan dibeli oleh agensi di bawah kementerian tersebut dan selebihnya akan cuba diselesaikan sebaik mungkin demi kesejahteraan semua pihak.

"Kita juga sedang menimbang beberapa alternatif-alternatif lain yang boleh diambil dalam mengatasi isu ini.

Artikel Berkaitan:

"Jika ada pengusaha pertanian yang terjejas boleh hubungi agensi di bawah kementerian dan kerajaan akan sedaya upaya membantu" katanya.

Che Abdullah turut memberi jaminan bekalan makanan di seluruh negara mencukupi sepanjang tempoh lanjutan PKP sehingga 28 April ini.

Sementara itu, kerajaan telah mengenalpasti beberapa langkah bagi membantu menyelesaikan lambakan sayur yang dihadapi oleh pengusaha di Cameron Highlands (Pahang) dan Lojing (Gua Musang) ekoran perlaksanaan PKP bagi mengekang penularan wabak pandemik Covid-19 ketika ini.

Che Abdullah berkata, antara langkah awal yang diambil ialah dengan membeli hasil pertanian tersebut.

"Bukan itu sahaja, pegawai kita telah turun padang untuk melihat masalah tersebut sambil mencari alternatif terbaik bagi membantu golongan berkenaan sepanjang tempoh PKP.

"Kementerian juga telah membuka bilik gerakan yang beroperasi sepanjang PKP bagi menyelesaikan masalah dalam kalangan pengusaha tanaman," katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas isu lambakan hasil pertanian yang gagal dipasarkan seperti mana dilaporkan oleh pihak media sebelum ini.

Terdahulu, Che Abdullah melakukan lawatan ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali di sini hari ini bagi meninjau stok bekalan ikan.