Perkasa bantah normalisasi provokasi penggunaan babi atas nama kebebasan

Borhan (kiri) dan laporan akhbar tempatan mengenai “Aktiviti Jualan Promosi Daging Babi” di Melaka.
Borhan (kiri) dan laporan akhbar tempatan mengenai “Aktiviti Jualan Promosi Daging Babi” di Melaka.
A
A
A

 

SHAH ALAM - Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membantah keras cubaan mengangkat penganjuran bersifat sensitif di ruang awam sebagai simbol “maruah”, “keberanian” atau ukuran kemajuan masyarakat.

Pemangku Presiden Perkasa, Borhan Ahmad Zakaria berkata, Malaysia dibina atas asas kebebasan yang disertai tanggungjawab sosial, bukannya kebebasan yang sengaja diuji pada titik paling sensitif terhadap kelompok masyarakat lain.

"Perkasa mengambil maklum kenyataan yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Bagan berhubung penganjuran program promosi jualan daging babi secara besar-besaran di Butterworth sempena sambutan Festival Duanwu.

"Pada prinsipnya, Perkasa tidak mempertikaikan hak mana-mana rakyat Malaysia untuk mengamalkan budaya, adat serta memilih makanan yang dibenarkan oleh agama dan kepercayaan masing-masing sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan semangat negara majmuk," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu portal berita,mynewshub.tv melaporkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menerusi satu hantaran di media sosial dalam bahasa Cina yang diterjemahkan menggunakan aplikasi ChatGPT berkata, tempat lain mungkin tidak mahu, tidak boleh atau tidak berani menganjurkan promosi besar-besaran daging babi, tetapi Butterworth berani melakukannya.

Guan Eng turut dilaporkan berkata, berhubung program penjualan besar-besaran daging babi di bandar tersebut menyaksikan daging daripada 60 ekor babi habis dijual dalam tempoh hanya dua jam.

Menurut beliau, program berkenaan membuktikan rakyat Butterworth hidup dengan penuh maruah serta bebas mengamalkan budaya dan cara hidup masing-masing.

Borhan berkata, persoalan utama bukan soal siapa makan apa, tetapi apakah mesej politik dan sosial yang cuba dibentuk apabila sesuatu aktiviti dipromosikan secara besar-besaran dan dijadikan naratif identiti awam.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, Perkasa berpandangan bahawa istilah seperti “berani melakukannya” dan menjadikan isu pemakanan sebagai lambang maruah masyarakat adalah pendekatan yang tidak membantu pembinaan negara bangsa.

"Dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, pemimpin sepatutnya memilih bahasa penyatuan, bukan bahasa yang boleh ditafsir sebagai cabaran simbolik terhadap sensitiviti masyarakat lain.

"Perkasa juga ingin mengingatkan bahawa toleransi tidak boleh difahami secara sehala. Jika masyarakat Muslim diminta menghormati hak budaya komuniti lain, maka prinsip yang sama menuntut semua pihak memahami bahawa terdapat nilai, emosi dan sensitiviti yang juga perlu diraikan secara matang.

"Mengangkat sesuatu program sehingga menjadi demonstrasi identiti awam yang berlebihan hanya akan menjarakkan hubungan antara komuniti dan membuka ruang kepada politik simbol yang tidak produktif,"katanya.

Jelasnya lagi, Perkasa menyeru semua pemimpin politik supaya menghentikan budaya mencari legitimasi melalui isu sensitif, sebaliknya menumpukan tenaga kepada persoalan yang lebih mendesak seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan berkualiti, integriti pentadbiran dan kesejahteraan rakyat.

Tambahnya lagi, Malaysia tidak memerlukan politik yang berlumba menunjukkan siapa paling berani menyentuh sensitiviti masyarakat.

"Malaysia memerlukan kepimpinan yang paling bijaksana menjaga keharmonian.

Perkasa kekal mempertahankan prinsip hormat-menghormati, keharmonian antara kaum dan kedudukan identiti nasional yang dibina atas asas kesederhanaan serta saling memahami," ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!