Keluarga mangsa tuntut tindakan tegas terhadap pemandu treler

TEMERLOH — Keluarga mangsa nahas empat beranak di Kilometer 43.2 Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK), Bentong, berharap tindakan undang-undang dapat diambil terhadap pemandu lori yang didapati positif dadah.
Abang kepada Allahyarham Rozita Buang, Jamlus, 69, berkata pemandu terbabit tidak wajar dibiarkan terus berada di jalan raya kerana perbuatannya bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah mampu mengundang bahaya kepada orang lain.

“Dalam laporan polis pagi tadi, pemandu didapati positif dadah. Jadi pihak keluarga berharap tindakan sekeras-kerasnya dapat diambil berikutan kejadian ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di sini pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN: Nahas empat maut: Kiriman swafoto makan nasi Arab jadi kenangan terakhir keluarga
Nahas empat maut: Pemandu treler ditahan positif dadah
Nahas empat maut: Treler hempap kereta terbakar ketika dialih
Treler terbabas hempap kereta, pemandu ada 15 rekod saman
Empat termasuk bayi maut, kereta dinaiki dihempap treler terbalik
Pada Ahad, empat beranak maut selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap treler dalam kejadian itu yang mengorbankan A Halim Hasoon, 55; isterinya, Rozita Buang, 58; anak perempuan mereka, Norbahyah A Haim, 26; serta cucu perempuan, Nayla Afya Aizat, 1.

Mengulas mengenai tindakan undang-undang termasuk saman, Jamlus memaklumkan perkara itu masih dalam perbincangan bersama ahli keluarga lain.
“Saya sedang uruskan dengan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD). Insya-Allah setakat ini sahaja yang boleh saya maklumkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pemandu treler berkenaan telah direman selama empat hari sehingga 18 Jun bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

