Nahas empat maut: Pemandu treler ditahan positif dadah

KUANTAN- Pemandu treler yang terbabas menghempap kereta hingga meragut empat nyawa di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) pada Ahad positif dadah.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, saringan air kencing dilakukan mendapati lelaki berusia 40 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine.
Menurutnya, pemandu terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk ujian saringan air kencing selepas selesai rawatan di hospital.
"Tangkapan dibuat ke atas pemandu kira-kira jam 4 pagi pada Isnin sebelum dibawa ke Mahkamah Raub untuk permohonan reman," katanya.
Polis sebelum ini turut mengesahkan lelaki tersebut turut memiliki 15 rekod saman lampau.
Dalam kemalangan dilaporkan jam 4.35 petang itu, empat termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut selepas kereta dinaiki dihempap treler membawa habuk kayu yang terbalik itu.
Mangsa yang maut merupakan pemandu dan penumpang kereta jenis Honda City dikenali sebagai A Halim Hasoon, 55, Rozita Buang, 58, Norbahyah A Halim, 26 dan Nayla Afya Aizat Faizal,1.
Kemalangan dipercayai berpunca treler hilang kawalan ketika melalui selekoh berbukit sebelum terbabas dan menghempap kereta mangsa.
Semua mangsa tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum jenazah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk proses bedah siasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

