Dakwaan IPTA jual tempat: Polis digesa siasat ceramah ambang PRN Pas

Bakhari membuat laporan polis berhubung dakwaan IPTA jual tempat menerusi sesi ceramah Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Haim Hilman Abdullah.
Bakhari membuat laporan polis berhubung dakwaan IPTA jual tempat menerusi sesi ceramah Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Haim Hilman Abdullah.
A
A
A

SHAH ALAM - Staf berjawatan Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat di Universiti Utara Malaysia (UUM) membuat laporan polis terhadap Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Haim Hilman Abdullah.

Laporan polis itu dibuat berhubung dakwaan terdapat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menjual tempat kepada golongan tertentu sehingga menjejaskan reputasi universiti awam.

Bakhari Che Mohamed Ariff berkata, beliau telah menonton rakaman video ucapan Haim Hilman yang disiarkan melalui Facebook sempena 'Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan' semasa berada di pejabat, kira-kira jam 10 pagi pada 14 Jun lalu.

Menurutnya, dalam ucapan tersebut, Haim Hilman antara lain mendakwa universiti awam pada masa kini sedang menjual tempat-tempat untuk golongan yang 'berduit'.

"Terdapat 'pintu belakang' untuk memasuki universiti awam bagi mereka yang tidak layak berdasarkan merit akademik dan sejumlah tempat yang sepatutnya diberikan kepada pelajar yang layak telah dinafikan kerana universiti awam menerima pelajar yang mampu membayar yuran penuh.

"Oleh itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menjalankan siasatan mengenai kandungan ucapan tersebut kerana ia berunsur fitnah dan boleh menjejaskan reputasi universiti awam.

"Tambahan pula ucapan itu disebarkan secara meluas ke seluruh negara yang mana video melalui pautan tersebut telah ditonton oleh lebih 220,000 penonton," katanya dalam laporan polis pada Isnin di Balai Bukit Kayu Hitam.

Sebelum ini, Haim Hilman didakwa menyatakan bahawa IPTA menafikan hak 30,000 pelajar yang layak kerana amalan tidak telus dan wujud unsur ‘pintu belakang’ dalam satu ceramah umum di Markas Pas Kawasan Seremban pada 13 Jun lalu.

Beliau turut menyatakan keadaan tersebut merupakan kecelakaan paling besar dalam pendidikan negara dan menyalahkan kerajaan kerana gagal menyediakan dana serta tempat yang mencukupi di universiti awam.

Artikel Berkaitan:

Tambah Bakhari, dakwaan tersebut adalah serius kerana ia boleh memberi gambaran negatif kepada masyarakat terhadap kerajaan, universiti awam dan sistem kemasukan pelajar ke universiti awam.

"Ia juga berpotensi menimbulkan kegusaran, kemarahan, keresahan dan hilang kepercayaan orang ramai terhadap universiti awam," ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!