Hampir 6,000 pegawai, anggota ditugaskan sepanjang PRN Negeri Sembilan - Polis

SEREMBAN - Sebanyak 5,953 pegawai, anggota polis Kontinjen Negeri Sembilan dan agensi lain, akan ditugaskan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi memastikan proses demokrasi itu berjalan lancar dan terkawal.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, jumlah itu, membabitkan 4,845 pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis, manakala bakinya sebagai pasukan bantuan sokongan yang turut melibatkan Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Pasukan Sukarelawan Polis.
"Kami berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi menerusi pelbagai persiapan rapi yang disusun dari awal termasuk aspek keselamatan, kawalan lalu lintas, pemantauan aktiviti kempen, penguatkuasaan undang-undang dan sebarang kemungkinan sepanjang tempoh pilihan raya,” katanya kepada Bernama pada Isnin.
Alzafny berkata, pihaknya akan melaksanakan penilaian berterusan, selain tidak menolak kemungkinan mendapatkan bantuan tambahan daripada kontinjen lain sekiranya terdapat keperluan bagi memperkukuh kekuatan sedia ada sekali gus memastikan keperluan operasi dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Sementara itu beliau berkata, polis sentiasa menghormati hak semua pihak untuk menjalankan aktiviti berkempen seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
"Susulan itu, pemantauan dan kawalan keselamatan akan dipertingkatkan bagi memastikan setiap aktiviti kempen termasuk ceramah, perarakan parti dan program berkaitan pilihan raya dilaksanakan secara aman serta mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang melanggar undang-undang, mencetuskan provokasi atau melakukan sebarang perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta menjejaskan kelancaran proses demokrasi.
Beliau turut menyeru semua parti politik, calon, penyokong serta orang ramai supaya sentiasa mengamalkan budaya politik matang, menghormati perbezaan pandangan dan mematuhi undang-undang sepanjang tempoh kempen.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk provokasi, penyebaran maklumat palsu atau tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan serta menggugat keharmonian masyarakat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan, tarikh penamaan calon pada 18 Julai, manakala pengundian awal pada 28 Julai. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
