Konflik Asia Barat: KPKM nilai kesan terhadap sektor makanan negara

Mohamad menyampaikan tazkirah semasa hadir ke Majlis Perjumpaan Bersama Warga KPKM Sempena Ramadan 2026 di Wisma Tani pada Selasa. Foto Bernama
Mohamad menyampaikan tazkirah semasa hadir ke Majlis Perjumpaan Bersama Warga KPKM Sempena Ramadan 2026 di Wisma Tani pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang menilai kemungkinan kesan konflik di Asia Barat terhadap sektor makanan negara termasuk potensi kenaikan kos input pertanian susulan ketidaktentuan harga minyak dunia.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat ini kesan langsung terhadap bekalan makanan negara dijangka terhad kerana kebanyakan makanan import Malaysia tidak diperoleh dari negara di Asia Barat.

Beliau berkata, sebahagian besar bekalan makanan import negara datang dari negara ASEAN, India, Pakistan, New Zealand, Australia, Brazil dan China.

"Buat masa ini kesannya tidak berapa banyak kerana barang-barang makanan yang kami import tidak banyak dari Timur Tengah.

"… tapi oleh kerana kesan kenaikan harga minyak itu barangkali akan mengakibatkan kenaikan harga dan sebagainya, kami tunggulah laporan yang dibuat kerana kami tidak boleh secara agak-agak,” katanya.

Mohamad berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama warga KPKM sempena Ramadan 2026 di sini pada Selasa.

Beliau bagaimanapun berkata, kenaikan harga minyak dunia berpotensi memberi kesan kepada kos pengeluaran pertanian termasuk kemungkinan peningkatan harga baja.

"Pegawai kementerian kini menjalankan analisis secara intensif bagi mendapatkan maklumat awal serta membuat unjuran sekiranya harga minyak meningkat secara berterusan.

"KPKM juga sedang melaksanakan proses semakan stok bagi menilai jumlah bekalan input pertanian sedia ada serta tempoh bekalan itu mampu bertahan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad berkata, antara langkah lain termasuk merancang keperluan bekalan berdasarkan stok sedia ada selain meningkatkan usaha pengeluaran makanan tempatan.

Beliau berkata, usaha itu melibatkan penggunaan teknologi baharu dalam sektor pertanian selain membuka kawasan pertanian baharu, khususnya di Sabah dan Sarawak serta membangunkan tanah terbiar.

Pada masa sama, Mohamad berkata, kerajaan terus memberi tumpuan kepada isu keterjaminan makanan, khususnya bekalan beras yang juga komponen keselamatan makanan paling utama negara walaupun ketika ini harga beras import stabil. - Bernama

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menilai kesan konflik Asia Barat terhadap sektor makanan Malaysia terutama pada kos input pertanian
  • Kebanyakan makanan import Malaysia datang dari negara ASEAN, India, Pakistan, New Zealand, Australia, Brazil dan China
  • Tidak banyak kesan langsung terhadap bekalan makanan negara dari konflik Asia Barat tapi kenaikan harga minyak dunia berpotensi naikkan kos pengeluaran
  • Kementerian sedang menjalankan analisis intensif terhadap kesan kenaikan harga minyak pada kos pengeluaran pertanian
  • Kerajaan merancang meningkatkan usaha pengeluaran makanan tempatan dengan teknologi baru dan membangunkan kawasan pertanian baru di Sabah dan Sarawak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!