Pelan damai AS-Iran: Kekalahan memalukan Netanyahu

TEL AVIV - "Perjanjian damai Amerika Syarikat (AS) bersama Iran yang bakal dimeterai membuktikan kegagalan Israel untuk mencapai objektif perang."
Kritikan itu dinyatakan ahli politik pembangkang Tel Aviv, Yair Lapid menerusi catatan di platform X pada Sabtu.
"Ia juga kekalahan memalukan buat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu kerana operasi ketenteraan di bawah arahannya hanya sia-sia.
"Tiada satu pun matlamat yang ditetapkan Netanyahu berjaya dicapai. Pemimpin itu ternyata gagal dari dari segi aspek politik dan perancangan strategik," sindirnya lagi.
Sekutu kuat AS itu mula gusar selepas Teheran dan Washington akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU), hasil usaha Pakistan bagi menamatkan kitaran konflik yang telah berlarutan selama lebih tiga bulan.
Ia turut menyaksikan gelombang serangan balas agresif dilancarkan ke atas beberapa negara Teluk dan Tel Aviv.
Trump mengumumkan bahawa MoU tersebut akan ditandatangani pada Ahad, namun Iran masih berteka-teki dan enggan mengesahkan garis masa tersebut, sekali gus menimbulkan ketidaktentuan mengenai perkembangan rundingan itu.
Agensi berita Fars memetik sumber rapat proses itu melaporkan, Iran masih belum memuktamadkan rangka perjanjian itu dengan semakan aspek politik, undang-undang dan teknikal masih diteruskan di peringkat pakar serta pembuat keputusan.
Dalam perkembangan berkaitan, perunding Qatar telah tiba di Teheran sebahagian usaha untuk menyempurnakan perjanjian itu.
Pada Sabtu, ratusan penunjuk perasaan turut mengadakan protes di pekarangan Kementerian Luar di bandar Mashhad sebagai membantah perjanjian damai itu yang didakwa terlalu mengikut telunjuk musuh. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

