Hargai keluarga, usah cepat ungkapkan perkataan bosan

Hasil masakan yang berjaya dimasak dengan pantauan si mama. Gambar kanan:Jadual memasak yang berjalan sepanjang PKP.
Hasil masakan yang berjaya dimasak dengan pantauan si mama. Gambar kanan:Jadual memasak yang berjalan sepanjang PKP.
A
A
A

SHAH ALAM - "Saya amat mengharapkan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ibu bapa dan suami isteri hargailah ahli keluarga di sekeliling mereka. Janganlah diungkapkan perkataan 'boringnya duduk di rumah, dah tak tahu apa nak buat."

"Kalau ahli keluarga mendengar perkataan ini, pasti akan terguris hati mereka, jadi berusahalah untuk memantapkan kebahagiaan dan kemesraan dalam kalangan ahli keluarga.

"Pada masa yang sama, disiplinkan diri untuk bekerja dari rumah, bersenam dan menambah baik ibadah kita dan hubungan dengan ALLAH SWT," kata pendakwah, Siti Fatahiyah Mahamood kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata, ibu bapa perlu merencanakan aktiviti bermanfaat dengan mengambil kira emosi anak-anak dan jangan biarkan mereka berasa bosan.

Siti Fatahiyah yang merupakan Perunding Keluarga dan Remaja itu turut berkongsi rutin hariannya bersama keluarga sepanjang PKP.

iaitu setiap hari anak-anaknya akan membantu beliau di dapur sekali gus memberikannya idea untuk melatih anak-anak dengan suasana di dapur.

"Memandangkan setiap hari anak-anak membantu saya di dapur, memberi idea kepada saya untuk menyiapkan jadual memasak setiap hari kepada anak-anak. Ini adalah untuk melatih mereka untuk turut sama bertanggungjawab menyediakan makanan, rasa pengalaman sendiri letih ke tak bila memasak di samping memudahkan mereka untuk membantu bakal isteri masing-masing apabila berkahwin nanti.

"Malam sebelum bermulanya aktiviti memasak, mereka perlu memeriksa peti sejuk untuk lihat bahan mentah apa yang ada untuk dimasak. Maklumkan musim PKP ini bukan setiap hari ayah mereka keluar membeli barang dapur. Kemudian mereka perlu memikirkan menu untuk esok berdasarkan bahan yang ada," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, beliau menambah, peluang sebegini juga diambil beliau untuk memberikan pengalaman secara langsung berkaitan sifat perempuan dengan lelaki memandangkan semua anak-anaknya sudah melangkau usia remaja.

"Contohnya apabila merajuk saya akan katakan, 'Haa ni mama saje je merajuk kat abah sebab nak tunjuk kat anak-anak esok kahwin biasanya isteri akan merajuk kalau diusik macam ni, jadi kena belajar macam mana nak pujuk'.

"Dan pada anak perempuan saya akan katakan, 'Kakak nanti janganlah sikit-sikit nak merajuk macam mama buat tadi, pening suami nak pujuk nanti," kongsinya lagi.

Ringkasnya, setiap keluarga ada cara tersendiri untuk menghargai peluang ini, aktiviti bersolat jemaah bermula Subuh hingga ke waktu Isyak merupakan rutin wajib mereka sekeluarga, selain membaca ak-Quran selepas Maghrib.

Setiap anak-anaknya diberikan tugas masing-masing apabila berada di dapur.
Setiap anak-anaknya diberikan tugas masing-masing apabila berada di dapur.

"Kebiasaannya, selepas Zuhur dan sebelah malam masing-masing buat kerja (work from home). Anak-anak kebanyakan ketua persatuan jadi lepas Zuhur atau malam, mereka ada,online meeting,, siapkan,proposal, persatuan atau siapkan penulisan projek tahun akhir (FYP).

"Saya dan suami juga sering berbincang dengan anak-anak terutamanya berkaitan isu-isu pengurusan dalam persatuan kerana mereka adalah ketua pelajar," katanya.

Menurutnya, beliau sekeluarga menjadikan aktiviti senaman sebagai perkara wajib.

"Sebelah petang biasanya kami buat senaman sama ada dalam rumah bagi perempuan atau laman rumah seperti main bola, takraw atau badminton (dalam kawasan rumah).

"Anak-anak juga diberi peluang untuk melakukan aktiviti masing-masing seperti bermain 'video game' dalam dua jam sehari dan biasanya mereka main sebelah malam selepas teman abah, mama menonton televisyen bersama-sama," katanya di akhir bicara.