Pesawat pengangkut Tentera Udara India terhempas

Pesawat berkenaan terhempas ketika mendarat di sebuah Stesen Tentera Udara. Foto NDTV
Pesawat berkenaan terhempas ketika mendarat di sebuah Stesen Tentera Udara. Foto NDTV
A
A
A

NEW DELHI - Sebuah pesawat pengangkut tentera Antonov AN-32 milik Tentera Udara India (IAF) terhempas dan terbakar di dalam kawasan Stesen Tentera Udara di Jorhat, negeri Assam pada pagi Sabtu.

Menurut laporan awal, pesawat itu dipercayai terhempas ketika proses pendaratan di kawasan pangkalan berkenaan sebelum mencetuskan kebakaran.

Pasukan kecemasan segera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran serta menjalankan penilaian awal keadaan.

Tentera Udara India mengesahkan insiden tersebut dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Setakat ini, maklumat mengenai jumlah mangsa atau kecederaan masih belum disahkan oleh pihak berkuasa.

Kerajaan negeri Assam turut memaklumkan mereka sedang menunggu laporan penuh daripada pihak tentera.

“Kami dimaklumkan mengenai insiden pesawat IAF di Jorhat dan sedang menunggu butiran lanjut,” kata Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma.

AN-32 merupakan pesawat pengangkut enjin berkembar yang digunakan secara meluas oleh Tentera Udara India untuk operasi logistik dan penghantaran bekalan ke kawasan sukar diakses.

Pesawat itu mampu membawa muatan sehingga 7.5 tan atau kira-kira 50 penumpang, serta sering digunakan dalam operasi di kawasan pergunungan dan terpencil.

Artikel Berkaitan:

Insiden ini berlaku beberapa bulan selepas kejadian nahas pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKI yang mengorbankan dua juruterbang di kawasan Karbi Anglong, Assam, sekali gus menambah kebimbangan terhadap keselamatan operasi udara tentera India di wilayah tersebut.

Pihak tentera kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas AN-32 berkenaan. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!