Kanak-kanak tiga tahun tertelan dawai logam dalam kek hari jadi

THANE – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun berdepan detik cemas selepas tertelan dua dawai logam yang tersembunyi di dalam hiasan kek sambutan hari jadinya.
Insiden tersebut berlaku pada 31 Mei lalu ketika sambutan awal ulang tahun kelahiran kanak-kanak berkenaan, Reyaansh yang sepatutnya menyambut hari jadinya pada keesokan hari.
Menurut ibunya, Sneha Shelar, keluarga mereka telah menempah kek bertemakan permainan boling daripada sebuah kedai bakeri tempatan.
Dalam satu hantaran di media sosial, Shelar berkata, Reyaansh begitu teruja melihat kek yang dihiasi pin boling berwarna emas dan terus memakannya sendiri.
Bagaimanapun, keluarga tersebut kemudian mendapati setiap hiasan pin boling pada kek berkenaan mengandungi dawai logam nipis yang digunakan sebagai sokongan struktur.
Menurut Shelar, pihak bakeri tidak memaklumkan mengenai penggunaan bahan tidak boleh dimakan itu ketika tempahan atau penghantaran dibuat.
Kehadiran dawai logam itu hanya disedari selepas dua kanak-kanak yang lebih berusia menggigit kek tersebut dan merasakan objek keras di dalamnya.
Apabila diminta penjelasan, pembuat kek mengesahkan bahawa dawai logam telah digunakan dalam hiasan kek berkenaan.
Pada ketika itu, Reyaansh dipercayai telah menelan dua dawai tersebut.
Keluarganya segera membawanya ke Hospital Jupiter di Thane untuk mendapatkan rawatan.
Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua dawai logam itu berada di dalam usus kecil kanak-kanak berkenaan.
Doktor bagaimanapun memutuskan untuk tidak menjalankan pembedahan segera, sebaliknya memantau keadaannya secara rapi.
Menurut keluarga mangsa, objek berkenaan akhirnya keluar secara semula jadi daripada tubuh Reyaansh dalam tempoh 48 jam tanpa menyebabkan sebarang kecederaan.
Kanak-kanak itu kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Shelar menyifatkan kejadian tersebut sebagai pengalaman yang amat menakutkan dan menyeru semua pengusaha bakeri supaya memaklumkan kepada pelanggan mengenai penggunaan bahan bukan makanan dalam hiasan kek.
Beliau turut menggesa ibu bapa agar memeriksa dengan teliti setiap hiasan pada kek sebelum diberikan kepada kanak-kanak bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

