Matyo kecewa ejen hilangkan diri

NORSHAHRUL
NORSHAHRUL
A
A
A

PENYERANG kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha meluahkan rasa kecewa terhadap ejennya, Abdul Halim Abdul Shukor yang gagal dihubungi tatkala beliau kini sangat memerlukan bantuan daripada Pengarah Urusan Offside Sports itu.

Abdul Halim merupakan individu yang bertanggungjawab membawa bekas pemain Pahang itu yang dikenali sebagai Matyo menyertai kelab Liga 1 Thailand, BG Pathum United bagi musim 2020 ini pada Januari lalu.

Menurut Norshahrul, beliau kini umpama 'sebatang kara' dalam mengharungi perjalanan kariernya sebagai pemain import di negara jiran itu dan amat memerlukan khidmat nasihat daripada ejennya itu dalam hal-hal berkaitan dengan situasi semasa wabak koronavirus (Covid-19) ini.

"Sudah banyak kali saya cuba menghubungi beliau (Abdul Halim) tetapi panggilan dan mesej yang dihantar langsung tidak berbalas. Saya tidak tahu kenapa?.

"Tapi beberapa hari lepas saya ada terbaca laporan media yang mana beliau telah memberikan komen terhadap isu mengapa ramai pemain Singapura menjadi pilihan kebanyakan kelab Liga Malaysia bagi kuota pemain import ASEAN.

"Jadi saya harap, jika beliau terbaca berita ini, tolong hubungi saya kerana beliau yang bertanggungjawab membawa saya ke Thailand tetapi apabila saya berdepan masalah ketika ini, beliau menghilangkan diri," katanya.

Norshahrul, 34, membuat keputusan mencuba sesuatu yang baharu untuk beraksi di liga luar negara selepas berkhidmat dengan banyak pasukan di Liga Malaysia antaranya Kelantan, Johor Darul Ta'zim, ATM, Terengganu, Felda United dan Pahang.

Dalam pada itu, Norshahrul turut memberitahu yang beliau masih menjalani latihan seperti biasa bersama kelabnya di Bangkok, biarpun Liga 1 Thailand turut masih ditangguhkan sama seperti Liga Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Sama seperti di Malaysia, pemain di sini (Thailand) juga diminta berbincang untuk pemotongan gaji.

"Jadi dalam hal-hal berkaitan ini juga saya memerlukan nasihat dan bantuan daripada ejen saya itu kerana saya keseorangan di sini sebagai pemain luar," ujar Norshahrul yang bagaimanapun lega kerana isteri dan anak-anak turut bersamanya di Bangkok.