Nelayan darat terjejas, pencemaran Sungai Meru

Kelihatan bangkai ikan terapung selepas sungai itu tercemar akibat bahan mentah getah.
Kelihatan bangkai ikan terapung selepas sungai itu tercemar akibat bahan mentah getah.
A
A
A

IPOH - Penduduk di daerah ini meluahkan rasa terkilan apabila melihat banyak bangkai ikan hanyut akibat dicemari sisa buangan industri di Sungai Meru, Jelapang di sini semalam.

Mohd Asri Hamid, 41, berkata, sungai itu yang menjadi nadi pendapatan nelayan darat bertukar putih dan dipenuhi buih-buih akibat kecuaian pihak tidak bertanggungjawab.

Mohd Asri menunjukkan bangkai ikan hanyut akibat pencemaran Sungai Meru.
Mohd Asri menunjukkan bangkai ikan hanyut akibat pencemaran Sungai Meru.

“Memang menjadi rezeki kepada abang saya dan penduduk lain tangkap ikan di sini untuk buat jual dan makan. Ini lubuk untuk mencari ikan.

“Dalam jam 6.40 petang semalam, saya lihat air sungai ini sudah bertukar putih, menangis kami lihat ikan-ikan yang timbul. Sayang sungguh sebab ikan ini sudah besar dan boleh dijual,” katanya ketika ditemui di sini.

Dia yang juga aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, perkara itu walaupun jarang berlaku ia sudah berlarutan sejak 20 tahun lalu.

“Dalam setahun ada dua atau tiga kali berlakunya pencemaran. Perkara ini berlaku dah lama sejak kilang itu beroperasi.

“Saya berharap sangat agar ada tindakan tegas diambil agar populasi ikan-ikan ini tidak terjejas dan alam sekitar dapat dipelihara dengan sebaiknya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Exco kerajaan Perak yang memangku portfolio Alam Sekitar, Mohd Akmal Kamarudin berkata, kelalaian dua pekerja yang gagal menutup injap menjadi punca pencemaran sungai tersebut.

Mohd Akmal bersama Pengarah JAS, Rosli Zul meninjau lokasi sungai yang terjejas.
Mohd Akmal bersama Pengarah JAS, Rosli Zul meninjau lokasi sungai yang terjejas.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bahan putih tersebut merupakan getah yang belum diproses sekali gus menafikan ia adalah sisa buangan industri.

“Ketika proses menurunkan bahan mentah getah dari lori ke tangki kilang disitulah berlaku kelalaian apabila pekerja mereka terlupa untuk menutup injap hingga menyebabkan tertumpah bahan mentah itu ke sungai.

“Bila kita lihat video itu, ada ketulan-ketulan getah yang menunjukkan bukan sisa buangan yang disengajakan,” katanya.

Kelalaian pekerja sebuah kilang, semalam menyebabkan Sungai Meru bertukar putih hingga menyebabkan ikan mati.
Kelalaian pekerja sebuah kilang, semalam menyebabkan Sungai Meru bertukar putih hingga menyebabkan ikan mati.

Katanya, dianggarkan sepanjang satu kilometer sungai telah terjejas dan sampel telah diambil untuk dianalisa.

”Pihak kilang diarahkan untuk melakukan pembersihan segera dan kita akan melihat daripada sudut perundangan malah kilang juga lewat memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pekerja gagal mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kilang itu dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).