Pengundi perlu bijak memilih

Di sinilah kebijaksanaan para pengundi diperlukan untuk menilai sama ada penyelesaian yang ditawarkan bersifat pragmatik dan tidak menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan.Gambar hiasan
Di sinilah kebijaksanaan para pengundi diperlukan untuk menilai sama ada penyelesaian yang ditawarkan bersifat pragmatik dan tidak menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan.Gambar hiasan
A
A
A

PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun dan diikuti pula oleh DUN Negeri Sembilan pada 5 Jun lalu menggambarkan bahawa demam pilihan raya telah mula dirasai.

Selepas pembubaran ini, rakyat akan menunggu tarikh penamaan calon dan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan yang akan diadakan.

Seterusnya, tempoh berkempen akan ditentukan dan di sinilah ceramah-ceramah politik akan bermula sama ada secara maya atau fizikal.

Tumpuan ceramah sudah pasti terhadap isu-isu ekonomi, sosial, geopolitik serta pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat setempat.

Parti-parti politik juga lazimnya akan mengumumkan manifesto yang mengandungi janji dan komitmen yang bakal dilaksanakan sekiranya mereka dipilih untuk menerajui pentadbiran negeri-negeri tersebut.

Dalam situasi semasa yang menyaksikan perkembangan teknologi begitu pesat, terutamanya penggunaan Kecerdasan Buatan (AI), masyarakat kini lebih mudah mendapatkan sumber maklumat yang tepat.

Penggunaan AI seperti Large Language Model (LLM) atau Model Bahasa Besar banyak membantu masyarakat mencari maklumat serta membuat penafsiran yang lebih tuntas. Perkara ini amat relevan bagi para pengundi yang celik teknologi maklumat, khususnya golongan pengundi muda.

Oleh itu, perkembangan LLM dilihat sebagai satu cabaran kepada ahli-ahli politik dalam merangka manifesto yang lebih pragmatik dan boleh dilaksanakan.

Namun begitu, keperluan untuk para pengundi bersikap objektif tetap penting.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana sekiranya mereka terlalu dipengaruhi emosi, maka maklumat dan penafsiran yang tepat melalui LLM sekali pun tidak mampu membantu mereka membuat keputusan yang betul.

Sebagai contoh, isu ekonomi seperti peningkatan kos sara hidup akibat penutupan Selat Hormuz telah mula kelihatan.

Data terkini menunjukkan kadar inflasi meningkat kepada 1.9 peratus pada April 2026 berbanding 1.7 peratus pada Mac dan 1.4 peratus pada Februari. Pecahan data inflasi tersebut menunjukkan subindeks sektor pengangkutan mencatatkan peningkatan sebanyak 4.1 peratus pada April berbanding 1.6 peratus pada bulan sebelumnya.

Komponen dalam sektor pengangkutan seperti diesel dan petrol turut meningkat masing-masing sebanyak 48.5 peratus dan 4.3 peratus. Manakala inflasi bagi pengangkutan udara domestik dan antarabangsa meningkat sebanyak 38.0 peratus dan 22.8 peratus.

Oleh itu, isu peningkatan kos sara hidup serta kesannya terhadap inflasi adalah sesuatu yang nyata. Yang penting ialah bagaimana masalah ini dapat diselesaikan.

Di sinilah kebijaksanaan para pengundi diperlukan untuk menilai sama ada penyelesaian yang ditawarkan bersifat pragmatik dan tidak menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan.

Justeru, dalam tempoh terdekat ini akan terdapat pelbagai ceramah politik sempena PRN Johor dan Negeri Sembilan yang membincangkan isu-isu semasa serta penyelesaian yang dicadangkan.

Tidak keterlaluan untuk dinyatakan bahawa PRN yang bakal diadakan juga merupakan cerminan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2028. Isu-isu nasional dan tempatan sudah pasti akan dibawa dalam kempen politik.

Apa yang diharapkan ialah parti-parti politik dapat bersaing secara sihat dengan menawarkan dasar-dasar yang lebih baik demi menyejahterakan rakyat serta mengangkat ekonomi negara ke tahap yang lebih berdaya saing.

Para pengundi disaran supaya lebih peka terhadap isu-isu yang dibangkitkan sepanjang kempen dan membuat keputusan mengundi dengan sebijak mungkin.

Ini kerana ahli-ahli politik yang dipilih kelak akan menerajui negeri dan seterusnya menentukan hala tuju negara.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!