Rawat jeragat RM199, rugi RM5,000

WANITA dan kecantikan memang sukar dipisahkan. Kalau sudah namanya jeragat atau tompok putih mula singgah di wajah, ramai sanggup mencuba apa sahaja asalkan keyakinan diri kembali pulih.
Merak Jalanan teringat cerita seorang kenalan yang sudah beberapa tahun berdepan masalah pigmentasi pada muka. Jadi apabila muncul iklan media sosial menawarkan rawatan laser pada harga RM199 di sebuah pusat estetik di Hulu Klang, dia anggap itu peluang.
Dalam fikirannya, kalau berkesan, berbaloi. Kalau tidak, taklah rugi besar mana. Rupa-rupanya cerita sebenar bermula selepas rawatan selesai.
Menurut kenalan Merak Jalanan itu, dia dibawa ke sebuah bilik kecil tanpa tingkap. Apa yang disangka sesi penerangan ringkas bertukar menjadi sesi memujuk dan memaksa yang tidak berkesudahan. Hampir sejam setengah.
Pakej demi pakej ditawarkan. Apabila dia menjelaskan tidak mempunyai wang mencukupi, telefon bimbitnya diperiksa bagi melihat sama ada dia mempunyai kemudahan SPayLater yang masih boleh digunakan.
Namun perkara yang paling meresahkannya bukan soal wang. Sebaik selesai rawatan laser, ubat susulan yang sepatutnya digunakan selepas prosedur itu tidak diberikan selagi dia belum bersetuju membeli pakej lanjutan.
Ketika itu dia mula panik. Muka baru selesai dilaser. Dia bimbang jika tiada ubat, kulitnya mungkin alami masalah lain pula. Dalam keadaan itulah dia akhirnya dia akur. Nilainya bukan kecil, RM5,000 untuk empat lagi sesi rawatan.
Namun selepas keluar dari pusat estetik itu, dia mula membaca komen pengguna lain di media sosial. Rupa-rupanya ramai berkongsi pengalaman hampir sama.
Pesan Merak Jalanan, sebelum menyerahkan wajah kepada orang lain, selidik dahulu reputasi pusat kecantikan itu, bukan sekadar percaya pada iklan dan harga promosi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
