Guru ditipu RM49,000

Macau Scam menipu mangsa melalui telefon. Gambar kecil: Mohd Wazir
Macau Scam menipu mangsa melalui telefon. Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Hasrat seorang guru untuk membuat pinjaman RM50,000 tidak kesampaian, malah kerugian RM49,000 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud yang menggunakan nama sebuah bank terkenal, akhir Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa lelaki berusia 41 tahun mendakwa berminat untuk membuat pinjaman peribadi menerusi bank tersebut selepas melihat iklan pinjaman wang berkenaan di laman sosial Facebook.

Menurutnya, mangsa seterusnya meninggal nombor telefon di ruangan komen dan telah dihubungi seorang lelaki yang kononnya daripada sebuah bank di Kuala Lumpur.

"Mangsa dan suspek telah berbincang dan setelah itu mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM50,000.

"Suspek kemudian meminta mangsa untuk menyerahkan salinan kad pengenalan, salinan slip gaji dan penyata akaun," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, selepas menyerahkan semua dokumen itu, suspek memaklumkan permohonan pinjaman mangsa telah diluluskan, namun perlu membuat bayaran terlebih dahulu.

Katanya, suspek menjelaskan pembayaran itu perlu dilakukan segera bagi tujuan membuka akaun, insurans dan yuran pinjaman terbabit.

"Mangsa kemudian membuat 12 kali pindahan wang ke dalam lima akaun yang diberikan suspek menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM49,049.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kini, mangsa masih belum menerima wang pinjaman berkenaan dan diminta untuk membuat bayaran lagi," katanya.

Menurutnya, mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.