‘Saya bina Indonesia' - Alasan lelaki warga asing tak bayar makan

JAKARTA – Seorang penduduk warga asing mencetuskan perhatian selepas didakwa enggan menjelaskan bayaran makanan dan minuman di sebuah kafe di kawasan Tanah Abang, Jakarta Pusat, sebelum tindakannya itu tular di media sosial.
Kejadian yang berlaku pada 31 Mei itu bermula apabila lelaki berkenaan menikmati makanan dan minuman di premis terbabit, namun transaksi pembayaran menggunakan kad kreditnya gagal.
Menurut laporan, bukannya mencari kaedah pembayaran lain atau menggunakan wang tunai, lelaki tersebut didakwa terus beredar dari premis berkenaan.
Seorang pekerja kafe yang cuba menuntut bayaran kemudian mengejar lelaki itu, namun situasi bertukar tegang apabila individu terbabit dilihat berang dan enggan membayar bil berjumlah sekitar 94,000 rupiah (RM21).
Dalam rakaman video yang tular, lelaki itu turut didakwa memberikan alasan bahawa beliau tidak perlu membayar kerana merasakan dirinya telah 'membina Indonesia' melalui sumbangannya terhadap pembangunan bangunan di Jakarta.
Bagaimanapun, pekerja kafe berkenaan akhirnya membenarkan lelaki itu pergi bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk, meskipun bayaran masih belum dijelaskan.
Pihak kafe memaklumkan insiden tersebut telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, yang menyifatkan tindakan lelaki berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati perkhidmatan yang diberikan.
Setakat ini, identiti serta kewarganegaraan individu terbabit masih belum dikenal pasti dan kes itu dipercayai sedang disiasat pihak berkaitan.- Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

