Wanita Palestin hamil didakwa dikasari polis Belanda, video tular cetus kemarahan

Seorang anggota polis yang dirakam dipercayai menolak seorang wanita ke lantai sebelum terlibat dalam pertengkaran dengan seorang lelaki yang berada berhampiran wanita tersebut. Foto Metro Uk.
Seorang anggota polis yang dirakam dipercayai menolak seorang wanita ke lantai sebelum terlibat dalam pertengkaran dengan seorang lelaki yang berada berhampiran wanita tersebut. Foto Metro Uk.
A
A
A

UTRECHT – Sebuah rakaman video yang memaparkan seorang anggota polis Belanda didakwa menjatuhkan wanita Palestin yang sarat mengandung ke lantai mencetuskan kemarahan orang ramai serta perdebatan mengenai penggunaan kekerasan oleh pihak berkuasa.

Menurut laporan media antarabangsa, kejadian itu berlaku pada 19 Mei lalu di sebuah pusat penempatan sementara pencari suaka di Kampweg, Zeist, berhampiran Utrecht.

Wanita berkenaan dikenal pasti sebagai Wesam Mekdad, 30, seorang pelarian Palestin dari Gaza yang ketika itu sedang hamil.

Rakaman tular itu menunjukkan Mekdad berdiri bersama suaminya sebelum seorang anggota polis yang mengendalikan anjing keselamatan menghampirinya dan didakwa menariknya secara kasar sehingga terjatuh ke lantai.

Suaminya yang menyaksikan kejadian tersebut bertindak meluru ke arah anggota polis berkenaan dalam keadaan marah, namun dikawal oleh beberapa anggota lain yang berada di lokasi.

Mekdad kemudiannya dilaporkan selamat melahirkan seorang bayi perempuan selepas insiden tersebut.

Bercakap dari hospital menerusi satu temu bual yang disiarkan oleh Middle East Eye di YouTube, Mekdad berkata, suaminya berada dalam keadaan tertekan selepas menerima berita kematian adiknya di Gaza.

“Suami saya mendapat berita bahawa adiknya di Gaza telah meninggal dunia. Dia berada dalam keadaan tertekan lalu merosakkan sebuah televisyen.

“Kami kemudian berurusan dengan polis dan saya hanya mahu bertanya sama ada saya boleh menemani suami saya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mekdad, dia sedang bercakap dengan suaminya ketika anggota polis terbabit bertindak menjatuhkannya ke lantai.

Video kejadian itu pantas tular di media sosial dan mengundang kecaman daripada pelbagai pihak.

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai wilayah Palestin yang diduduki, Francesca Albanese, turut berkongsi rakaman berkenaan di platform X sambil menggesa masyarakat agar tidak berdiam diri terhadap insiden tersebut.

Sementara itu, wartawan Ireland, Chay Bowes mempersoalkan reaksi masyarakat antarabangsa sekiranya kejadian sama berlaku di negara lain seperti Rusia atau China.

Dalam pada itu, polis Belanda mengesahkan siasatan sedang dijalankan bagi meneliti tindakan anggota yang terlibat.

“Kami menyedari kewujudan rakaman tersebut dan memahami kebimbangan yang disuarakan masyarakat.

“Tindakan anggota polis yang terlibat sedang dinilai berdasarkan prosedur operasi standard bagi menentukan sama ada penggunaan kekerasan itu wajar mengikut situasi yang berlaku,” kata jurucakap polis Belanda dalam satu kenyataan.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!