Israel laksanakan 'dasar bumi hangus' di Lubnan

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara di selatan Lubnan yang dibedil Zionis pada Ahad. - Foto AFP
Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara di selatan Lubnan yang dibedil Zionis pada Ahad. - Foto AFP
A
A
A

BEIRUT - Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam pada Sabtu mendakwa, Israel sedang melaksanakan 'dasar bumi hangus' di kawasan selatan negara itu ketika kempen pencerobohan rejim Zionis terus diperhebatkan dan terus meragut nyawa orang awam.

Salam memberi amaran negara itu kini berdepan peningkatan ketegangan yang 'berbahaya' dan menggesa gencatan senjata yang 'segera serta nyata'.

"Rejim Tel Aviv juga mengamalkan hukuman kolektif dengan memusnahkan bandar dan kampung serta memaksa penduduk di zon tempur berpindah dan hidup dalam buangan.

"Tindakan itu hanya sia-sia dan tidak akan membawa keselamatan atau kestabilan kepada Israel," ujarnya.

Gencatan senjata bagi menghentikan pertempuran antara Israel dan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran secara rasmi berkuat kuasa pada 17 April lalu, namun tidak pernah dipatuhi sepenuhnya apabila kedua-dua pihak saling menuding jari menuduh melanggar perjanjian itu.

Sehari sebelum itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan angkuh memaklumkan pasukan tentera mereka kini semakin mara ke Beirut selepas pemimpin 'ekstremis' itu mengumumkan taktik jahat serupa seperti dilaksanakan di Genting Gaza.

Ketegangan di Lubnan tenggelam daripada perhatian antarabangsa apabila dunia lebih memberi tumpuan kepada konflik Iran dan Amerika Syarikat (AS) yang masih belum menemukan jalan perdamaian.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) kini memperkukuh cengkaman mereka sebagai sebahagian daripada peluasan operasi darat atas alasan untuk memerangi pejuang Hizbullah.

“Sebilangan besar unit infantri mara ke kawasan tambahan setelah menyeberangi Sungai Litani di sempadan," menurut askar Zionis dalam satu kenyataan pada Ahad. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!