Menilai semula SOP rimba: Di mana silap kita?

Fenomena pendaki hilang atau sesat bukan lagi kes terpencil, sebaliknya semakin kerap dilaporkan dan mengundang kebimbangan masyarakat. Gambar hiasan
Fenomena pendaki hilang atau sesat bukan lagi kes terpencil, sebaliknya semakin kerap dilaporkan dan mengundang kebimbangan masyarakat. Gambar hiasan
A
A
A

FENOMENA pendaki hilang atau sesat bukan lagi kes terpencil, sebaliknya semakin kerap dilaporkan dan mengundang kebimbangan masyarakat.

Di sebalik peningkatan minat terhadap aktiviti rekreasi ekstrem ini, terselit satu realiti pahit mengenai risiko keselamatan yang sering dipandang remeh.

Insiden tragis seperti kehilangan mangsa di Bukit Changkat Asa, Hulu Selangor serta Gunung Batu Putih dan Gunung Liang di Perak termasuk kes kematian akibat hipotermia jelas membuktikan belantara tropika Malaysia tidak pernah berkompromi dengan sebarang bentuk kecuaian walau sekecil mana sekalipun.

Pendaki yang terpisah daripada kumpulan, bergerak sendirian atau membuat keputusan tanpa pertimbangan sering menjadi titik mula kepada tragedi.

Lebih membimbangkan, ada juga kes mangsa yang cedera atau keletihan dibiarkan tanpa pengawasan, sekali gus meningkatkan risiko kehilangan nyawa.

Pada masa sama, faktor alam sekitar mempercepatkan bahaya. Hujan lebat, trek licin, laluan bergaung dan perubahan suhu mendadak menjadikan hutan sebagai persekitaran yang tidak boleh dipandang ringan.

Ditambah pula dengan kekangan liputan komunikasi, usaha mendapatkan bantuan menjadi semakin sukar ketika kecemasan berlaku.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pula bukan tugas mudah. Ia melibatkan kos tinggi, tenaga kerja besar dan penggunaan aset khusus seperti helikopter serta teknologi komunikasi.

Setiap kelewatan akibat ketiadaan maklumat tepat hanya menambah kesukaran dan risiko kepada mangsa.

Artikel Berkaitan:

Justeru, pendekatan lebih tegas dan sistematik perlu diperkenalkan. Penguatkuasaan undang-undang perhutanan dan penggunaan teknologi keselamatan harus diperkemas. Permit mendaki semata-mata tidak mencukupi tanpa kawalan ketat di pintu masuk trek.

Kehadiran Malim Gunung Perhutanan bertauliah harus diwajibkan bagi trek berisiko tinggi. Pada masa sama, penggunaan peranti pengesan seperti GPS tracker juga boleh dipertimbangkan sebelum memasuki hutan.

Langkah itu bukan sahaja membantu menjejak pergerakan pendaki, malah mempercepatkan operasi SAR jika berlaku kejadian tidak diingini.

Keselamatan tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada kesedaran individu semata-mata, sebaliknya ia perlu disokong dengan sistem yang lebih tersusun dan berkesan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!