Selipar, kuih jadi petunjuk pencarian warga emas hilang

PONTIAN - "Saya harap ibu segera ditemui dan berada dalam keadaan selamat selepas usaha pencarian dilakukan."
Demikian kata Noorzilla Ali, 38, menantu kepada Nathiah Ali, 77, yang dilaporkan hilang di dalam kebun kelapa sawit di Kampung Medan Sari di sini pada Selasa.
Noorzilla berkata, kehilangan ibu mertuanya itu disedari apabila mangsa tidak pulang ke rumah sebelum usaha mencarinya dilakukan penduduk kampung di sekitar kawasan berkenaan.
"Pada sebelah pagi, biasanya ibu ke rumah lama iaitu rumah pusaka yang terletak kira-kira satu kilometer. Jalan kebun sawit akan digunakan ibu untuk ke sana.
"Sudah hampir setahun ibu tinggal dengan saya dan suami yang merupakan anak kedua dari sembilan beradik.
"Ibu seorang pelupa dan sebelum ini memang pernah hilang tetapi biasanya ibu berada dirumah saudara atau jiran. Tetapi semalam, puas kami cari tetapi ibu tidak ditemui," katanya pada Rabu.

Noorzila berkata, penduduk seterusnya menggerakan usaha mencari sebelum menemui selipar di dalam kebun kelapa sawit.
“Kami sekeluarga pada awalnya merancang menyediakan juadah raya pagi semalam, namun segalanya berubah selepas ibu disedari hilang.
"Ada yang melaungkan azan ketika mencari ibu di dalam kebun kelapa sawit," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, penemuan sepasang selipar dan sedikit kuih dipercayai milik wanita warga emas yang hilang itu menjadi petunjuk penting dalam operasi pencarian yang memasuki hari kedua pada Selasa.

"Operasi turut dibantu oleh Unit Anjing Pengesan (K9) IPK Johor serta K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selain anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pontian dan penduduk kampung sekitar.
"Dianggarkan lebih 80 anggota terlibat dalam operasi pencarian pada pagi ini (Rabu). Pencarian dimulakan dengan penggunaan unit K9," katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba, Mahadir Mamat berkata, unit drone akan digunakan dalam masa terdekat bagi membantu usaha mencari dan menyelamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

